NAFAS henti sementara operasi lima anak syarikat

Ir Phahrolrazi (kanan) menyerahlan sumbangan wang tunai kepada salah seorang asnaf pada Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Alor Mengkudu di Dewan D'Awangan, di sini, semalam.
Ir Phahrolrazi (kanan) menyerahlan sumbangan wang tunai kepada salah seorang asnaf pada Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Alor Mengkudu di Dewan D'Awangan, di sini, semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menghentikan operasi perniagaan lima daripada 11 anak syarikat miliknya yang tidak berdaya maju buat sementara demi membolehkan kajian semula dilaksanakan.

Pengerusi Nafas, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, kajian itu dilakukan demi menilai semula dan menentukan sama ada syarikat itu boleh beroperasi atau sebaliknya.

Keputusan itu dibuat bulan lalu berikutan lima syarikat terbabit mengalami kerugian berterusan dan tidak berfungsi.

“Ada syarikat yang menjalankan usahasama berkaitan perdagangan dengan sebuah syarikat di India dan ia berkaitan pendidikan dengan sebuah universiti di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, syarikat berkaitan tidak ditutup, sebaliknya hanya diberhentikan sementara operasi perniagaan demi membolehkan kita melakukan kajian semula itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) DUN Alor Mengkudu di Dewan D'Awangan, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa sebab, antaranya syarikat itu wujud namun tidak menjalankan sebarang perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Ada syarikat pula dikenal pasti menunjukkan kerugian berterusan dan tidak mencatatkan keuntungan.

"Jadi, Nafas terpaksa mengambil tindakan itu demi membolehkan kami menyusun dan mengurus tadbir semula anak syarikat di bawah kepimpinan baharu kerajaan PH," katanya.

Beliau juga meletakkan keyakinan anak syarikat Nafas akan dipastikan berdaya saing, sekali gus memberi keuntungan yang lebih kukuh di bawah kepimpinan baharu itu.

Katanya, pihaknya perlu membaiki dan meletakkan semula Nafas di landasan betul selepas banyak kesilapan dilakukan pimpinan sebelum ini.

Menurut beliau, NAFAS diminta menentukan hala tuju baharu yang memenuhi dasar kerajaan seperti bidang keselamatan makanan dalam kepimpinan baharu kini.

"Kita komited untuk memajukan perniagaan sedia ada Nafas, misalnya membekalkan ayam kepada kontrak kerajaan, selain membekalkan baja subsidi kepada peladang," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantung operasi Nafas berkuat kuasa 1 Jun 2018 berikutan beberapa masalah serius tadbir urus sebelum disambung semula pada Januari 2019.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 130 asnaf demi membantu dan meringankan beban mereka untuk membuat persediaan sambutan Aidilfitri dalam majlis itu.