X

Kindly register in order to view this article
!

Apakah ciri calon wanita syurga?

Jadilah isteri yang menyenangkan dan menghiburkan hati suami sama ada di dalam mahupun di luar rumah. -GAMBAR HIASAN.
A
A

SELALU kita dengar orang kata, syurga isteri terletak pada suami.

Bagaimana caranya golongan wanita boleh meraih syurga ALLAH ini?

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, ada disebutkan empat ciri-ciri wanita idaman syurga.

Sabda baginda SAW: "Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang isteri-isteri kamu yang termasuk dalam penghuni syurga? Iaitu wanita yang mencintai suami, mempunyai anak yang ramai dan selalu meminta maaf kepada suaminya. Sekiranya dia menyakiti ataupun disakiti, dia segera berjumpa suaminya dan memegang tangannya lalu berkata, 'Demi ALLAH, aku tidak akan tidur sebelum engkau reda kepadaku'." (Riwayat an-Nasai')

Subhanallah, betapa tingginya kedudukan isteri yang solehah iaitu wanita yang menjaga sisi kehidupan suami dan keluarganya dengan cermat serta taat.

Namun, ketaatan itu mestilah dalam perkara makruf, bukannya mungkar.

Isteri solehah juga ialah isteri yang menyenangkan dan menghiburkan hati suami sama ada di dalam mahupun di luar rumah.

Sebaiknya, jadilah kawan, teman, sahabat dan pelengkap buat suami yang berada dalam kesenangan mahupun ketika susah.

Contohilah kisah cinta Saidatina Fatimah dan Saidina Ali RA yang cukup masyhur untuk dijadikan teladan buat kita.

Suatu hari, Saidatina Fatimah berkata kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, semalam aku bergurau dengan Ali. Tanpa sengaja, aku telah mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaannya. Setelah itu, aku mendapati mukanya merah menahan marah.

"Bila aku melihat wajahnya begitu, aku berasa sungguh menyesal atas ketelanjuran berkata begitu. Lalu aku segera memohon maaf kepadanya.

"Aku mengelilingi dan merayu kepadanya sebanyak 70 kali sehingga dia reda. Dia akhirnya tertawa melihatku. Walaupun suamiku telah reda, namun aku masih berasa takut kepada ALLAH SWT," kata Saidatina Fatimah.

Lalu baginda SAW berkata: "Wahai anakku, demi Dia yang telah mengutusku sebagai nabi dengan agama yang benar. Sesungguhnya jika engkau meninggal dunia sebelum Ali meredaimu, maka aku tidak akan melakukan solat jenazah buatmu."

Daripada kisah itu, dapat kita lihat bahawa Nabi Muhammad SAW begitu tegas kepada puterinya tentang kepentingan mendapat reda suami dalam kehidupan berumah tangga.

Kepada mereka yang sudah berumah tangga, semaikanlah kasih sayang di dalam keluarga dan jagalah hati pasangan sebaiknya.

Semoga rumah tangga kita kekal harmoni buat selamanya.

(Sumber: Fatin Nor Izzati)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!