Jangan sampai salah guna antibiotik

Sejauhmana kepentingan antibiotik dalam tubuh badan seseorang manusia?

No Image Caption
A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1

DOKTOR, saya ada membaca berkenaan krisis yang boleh meragut nyawa sehingga 10 juta penduduk setiap tahun. Impak daripada itu, kos penjagaan kesihatan akan mencecah lebih AS$100 trilion menjelang tahun 2050. Hal itu berkait rapat dengan daya tahan atau rintangan antimikrob (AMR). Persoalannya, apa faktor yang mendorong situasi itu? - Pelajar Musykil, Jackson Tan, 24, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

DAYA tahan atau rintangan antimikrob (AMR) berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, kulat, virus dan parasit bertukar selepas pendedahan kepada ubat antimikrob (antibiotik, antikulat, antivirus, antimalaria dan antelmintik).

Akibatnya, rawatan sudah tidak lagi berkesan dan jangkitan akan berlarutan hingga menyebabkan risiko penyebaran kepada orang lain.

Kesan jangkitan akibat bakteria yang mempunyai daya tahan terhadap pelbagai ubat boleh membawa bencana besar. Tanpa ubat antimikrob yang berkesan, banyak rawatan perubatan gagal atau menjadikan prosedur lebih berisiko tinggi.

Ia menghalang kemajuan perubatan moden, menjejaskan kejayaan pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan-pembedahan besar.

Artikel Berkaitan:

Menurut penerbitan The Review on Antimicrobial Resistance, jika tiada langkah segera diambil, masa depan kesihatan awam boleh terancam.

Memetik penerbitan itu, menjelang tahun 2050, dianggarkan 10 juta orang akan meninggal dunia akibat AMR, lebih tinggi daripada kadar kematian tergabung semasa bagi kanser, diabetes dan kemalangan di jalan raya.

Negara Asia pula direkodkan akan menghadapi kesan paling besar dengan 4.7 juta kematian pada tahun sama.

Untuk pengetahuan saudara, antibiotik tergolong di bawah kategori ubat antimikrob. Daya tahan atau rintangan dicapai apabila kuman seperti bakteria dan kulat membangunkan keupayaan untuk menentang ubat yang direka untuk membunuhnya (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit 2019).

Kegagalan bertindak balas kepada antibiotik boleh menyebabkan penyakit berpanjangan, kos lebih tinggi dan juga risiko kematian yang lebih tinggi.

Kami menghadapi cabaran kerana pesakit mempunyai salah tanggapan bahawa antibiotik boleh menangani sebarang bentuk jangkitan.

Bagaimanapun, ubat itu hanya bertujuan merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria seperti jangkitan tekak streptokokus, batuk kokol dan abses.

Antibiotik juga tiada kesan terhadap jangkitan virus seperti influenza, selesema biasa dan demam denggi. Ia bukan sahaja tidak berkesan untuk melawan virus tetapi juga boleh menyerang bakteria berguna yang sensitif kepada antibiotik di dalam badan dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan berlebihan bakteria yang berdaya tahan.

Tambahan lagi, bakteria berdaya tahan boleh memindahkan gen berdaya tahan mereka kepada bakteria sensitif di dalam badan kita.

Kita kini melihat lebih banyak jangkitan yang tidak bertindak balas kepada kebanyakan antibiotik dan ada yang langsung tidak terkesan oleh sebarang antibiotik.

Pilihan rawatan

Terdapat hanya beberapa pilihan untuk merawat patogen yang berdaya tahan. Namun, kadangkala kita tidak mempunyai sebarang pilihan.

Saya secara peribadi pernah merawat pesakit yang mengalami AMR, kebanyakan mereka telah terdedah kepada berbilang rawatan antibiotik.

Apabila seseorang diberikan antibiotik dan daya tahan terhadapnya terbentuk, maka (daya tahan) tersebut akan kekal di dalam badan untuk jangka masa yang lama, kadang-kadang lebih daripada setahun.

Pesakit itu lebih sukar dirawat, mereka memerlukan terapi antibiotik intravena berpanjangan dan keputusan umumnya kurang baik.

Antibiotik juga dikenali sebagai societal drugs kerana rintangan antibiotik boleh dipindahkan daripada satu bakteria kepada bakteria lain. Jangkitan (bakteria) berdaya tahan boleh dipindahkan daripada seorang kepada orang lain.

Apabila antibiotik digunakan dalam manusia atau binatang, kira-kira 80 ke 90 peratus daripada antibiotik yang diambil tidak terurai tetapi menyusuri sistem badan dalam bentuk seadanya sebelum dikumuhkan dan memasuki alam sekitar sebagai sisa buangan.

Ia mengekalkan keupayaan mempengaruhi bakteria dan menggalakkan rintangan antibiotik walaupun selepas memasuki tanah atau air sebagai produk sisa. Justeru, penggunaan antibiotik dan daya tahan terhadap antibiotik akhirnya boleh mempengaruhi seluruh masyarakat.

Ambil dos sewajarnya, ikut tempoh masa

SOALAN 2

DOKTOR, saya risau mengenai penyakit berkaitan daya tahan diri ini. Apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan AMR? - Gadis Risau, Fatima Muhsin, 26, Shah Alam, Selangor

JAWAPAN:

JIKA anda mengalami jangkitan bakteria, anda hendaklah melengkapkan pengambilan antibiotik yang diberikan oleh doktor.

Penggunaan antibiotik mesti dikawal secara keseluruhan. Pakar perubatan, ahli farmasi dan orang ramai mesti mengelakkan kecuaian terhadap pengambilan ubat berharga itu.

Antibiotik mesti diberikan hanya untuk jangkitan bakteria dan dalam dos sewajarnya untuk tempoh masa yang betul.

Pesakit sepatutnya kekal dengan satu doktor sehingga masalah jangkitan diselesaikan dan tidak bertukar-tukar doktor.

Mereka harus bertanya pakar tentang apakah preskripsi yang diberikan dan mengapa? Menurut undang-undang, nama antibiotik (atau sebarang ubat preskripsi) mesti ditulis dengan jelas pada pek preskripsi bersama dos dan tempohnya.

Apabila menggunakan antibiotik, anda perlu mengambil semua ubat yang diberikan. Jangan simpan antibiotik untuk digunakan pada masa lain.

Anda perlu sedar bahawa bukan semua antibiotik sama. Setiap satunya mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza.

Hakikatnya, doktor perlu mengenal pasti tapak jangkitan dan menentukan jika (jangkitan) disebabkan oleh bakteria sebelum memberikan atau mengesyorkan antibiotik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menegaskan bahawa pemvaksinan ialah satu cara penting untuk mengatasi daya tahan antibiotik.

*Pandangan dan pendapat rencana pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd.Profil

Profil Prof Madya Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar merupakan Pakar Runding Penyakit Berjangkit.

Beliau kini bertugas di Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan di Kuala Lumpur.

Prof Madya Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar
Prof Madya Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar