Didenda RM2,000 pukul pemungut hutang

No Image Caption
A
A
A
KAMPUNG RAJA – Tindakan seorang tukang jahit memukul pemungut hutang sebuah syarikat produk kelengkapan rumah dan motosikal menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Besut, di sini, semalam.

Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret Raa Norshuzianna Shakila Raja Mamat selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Tertuduh berusia 51 tahun dari Jalan Maarif Kampung Raja, di sini, turut berdepan penjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan mangsa, Ahmad Pu’ad Jamil, 55, di sebuah rumah di Jalan Sekolah Maarif Kampung Raja, di sini, jam 4.15 petang pada 3 November lalu.

Tertuduh bakal berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Artikel Berkaitan:


Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Tun Aiman Azemi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pekerja sebuah syarikat elektrik dipukul dengan penyodok tanah dan ditendang di sebuah rumah di Jalan Sekolah Maarif Kampung Raja, di sini.

Tertuduh dikatakan bertindak demikian kerana menyangka mangsa menyamar sebagai pemungut hutang ketika ke rumahnya untuk mengambil bayaran ansuran pembelian barangan syarikat berkenaan.