Mualaf jahit pakaian sara keluarga

Auf dan isterinya mengusahakan kedai jahit pakaian di Jalan Gagah, Taman Terendak Sungai Udang.
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] Pernah suatu ketika, mereka terpaksa mengikat perut untuk menyimpan wang modal perniagaan, namun kini seorang mualaf di negeri ini boleh menarik nafas lega apabila mempunyai perniagaan menjahit pakaian sendiri.

Kehidupan Auf Abdullah, 44 dan isterinya Mah Ali, 46, menjadi lebih baik berbanding sebelum ini malah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan selepas mengambil keputusan untuk berhenti kerja dalam sektor perkilangan.

Menurutnya, selepas 'menyambut' hidayah untuk memeluk Islam pada tahun 2005, dia dan isterinya mengambil keputusan untuk bekerja sendiri pada tahun 2013 dengan menjahit pakaian di rumah.

"Alhamdulillah selepas berhenti sebagai juruteknik kilang, saya membantu isteri menjahit dan bermula dari rumah kemudian kami ambil keputusan untuk menyewa kedai dengan kadar RM200 sebulan.

"Walaupun jarak dari kedai agak jauh dari rumah kami di Cheng, tapi kami anggap rezeki kerana di sini ramai pelanggan kami dan kebanyakannya anggota tentera," katanya yang mengakui bidang tersebut tidak lari dari persaingan sihat.

Auf ringan tulang membantu isterinya melipat pakaian selain mempunyai kemahiran menjahit t-shirt.
Auf ringan tulang membantu isterinya melipat pakaian selain mempunyai kemahiran menjahit t-shirt.

Auf berkata, dia bersyukur pernah terpilih menerima bantuan zakat perniagaan daripada Zakat Melaka selain mendapat bantuan mesin menerusi program 1Azam beberapa tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya bantuan itu dapat membantu kami dan menjadi perangsang untuk kami bekerja lebih gigih untuk meningkatkan pendapatan keluarga walaupun mesin jahit 1Azam tidak lagi berfungsi dengan baik.

"Dengan menjahit juga dia dapat menyekolahkan ketiga-tiga orang anak berusia 13 hingga 8 tahun termasuk seorang perempuan yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Muar," katanya.

Menurutnya, walaupun perniagaan yang mereka usahakan tidaklah sehebat orang lain namun terharu apabila dikategorikan sebagai usahawan asnaf mualaf.

Isterinya, Mah berkata, mereka berdua tidak mahu meminta-minta bantuan dan kerana itu juga mereka tidak pernah memohon sebarang bentuk bantuan mahupun pinjaman bagi membesarkan perniagaan.

"Wang yang ada kami gunakan sebagai modal untuk beli kelengkapan menjahit dan sampai kini sekarang dianggarkan kira-kira RM20,000 kami belanja untuk beli mesin jahit pakaian.

Auf bersama Mah dan anak-anak mereka.
Auf bersama Mah dan anak-anak mereka.

"Kebiasaannya saya akan menjahit baju termasuk pakaian beruniform manakala suami akan membantu saya menyiapkan tempahan t-shirt.

"Menjelang raya memang tempahan lebih banyak berbanding hari biasa dan disebabkan kemudahan mesin yang terhad ada tempahan pelanggan terpaksa kami tolak kerana risau tidak dapat siapkan sebelum raya," katanya.

Menurutnya, jika diberikan peluang, dia berharap diberikan bantuan mesin sulaman dan juga pelbagai aksesori jahitan untuk mempelbagaikan lagi perniagaan yang diusahakan lebih lima tahun lalu.

"Alhamdulillah sejak kebelakangan ini kami mendapat bantuan Zakat Melaka seperti pakaian sekolah, bantuan persediaan Syawal, bantuan mualaf dari Balai Islam yang sememangnya meringankan beban untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Terima kasih Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (Bahagian Agihan Zakat) yang memberi perhatian kepada keluarga kami termasuk tidak melupakan kami menjelang raya ini," katanya.

Auf (kiri) dan Mah (dua dari kiri) ketika menerima kehadiran wakil Zakat Melaka di kedainya di Sungai Udang.
Auf (kiri) dan Mah (dua dari kiri) ketika menerima kehadiran wakil Zakat Melaka di kedainya di Sungai Udang.