Tak sempat hirup Teh O panas, penguat kuasa dah serbu

Tea O panas yang tidak sempat diminum lelaki terbabit kerana melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa.
Tea O panas yang tidak sempat diminum lelaki terbabit kerana melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki buka langkah seribu hingga tidak sempat minum segelas teh O panas apabila diserbu penguat kuasa agama dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) ketika enak menjamu makan tengah hari di sebuah 'port' bawah pokok mempelam hadapan sebuah rumah di Jalan Zainal Abidin di sini hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 50-an terbabit memecut lari sebaik terlihat anggota penguat kuasa menghampirinya yang sedang makan pada jam 12.30 tengah hari sehingga tertinggal telefon bimbit dan sekotak rokok bersama mancis.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jaheaik Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, siasatan di tempat kejadian turut menjumpai kertas bungkusan nasi yang isinya dipercayai sudah dimakan oleh lelaki berkenaan.

“Menyedari kehadiran penguat kuasa, suspek kemudian berlari laju di celah-celah bangunan hingga tidak dapat dikesan dan berjaya meloloskan diri.

“Pihak berkuasa bagaimanapun merampas telefon bimbit dan rokok miliknya untuk dijadikan bahan bukti supaya suspek perlu datang ke pejabat Jaheaik untuk menuntut barangan terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Tidak Sopan Bersepadu II di sini hari ini.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga 6 petang dianggotai 70 penguatkuasa diketuai Jaheaik dan turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Majlis Perbandaran Ketereh dan Polis Diraja Malaysia.

Mohd Fadzuli (kiri) memeriksa telefon bimbit yang ditinggalkan suspek kerana terkejut dengan kehadiran penguatkuasa.
Mohd Fadzuli (kiri) memeriksa telefon bimbit yang ditinggalkan suspek kerana terkejut dengan kehadiran penguatkuasa.

Menurutnya, lokasi berkenaan dikatakan kerap kali dijadikan port sekumpulan lelaki berusia yang tidak berpuasa untuk makan pada waktu siang pada bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Ketika serbuan terdapat juga kumpulan lelaki Islam yang lain berada berhampiran suspek, namun kami tidak menemui makanan atau minuman bersama mereka.

“Pihak berkuasa bertindak memberi amaran kepada pemilik rumah iaitu seorang wanita bukan Islam berusia 81 tahun supaya tidak membenarkan orang Melayu masuk berjudi atau makan di kawasan rumahnya itu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Operasi berkata, sebuah gerai menjual juadah berbuka puasa di Jalan Masjid Lundang di sini turut dikenakan kompaun oleh MPKB-BRI dan kuih-muih yang dijual dirampas kerana berniaga sebelum jam 3 petang.

“Ketika diserbu pada jam 1.10 petang terdapat dua pelanggan yang sedang membeli juadah di kedai ini dan tindakan kompaun diambil oleh MPK-BRI terhadap peniaga lelaki terbabit kerana berniaga sebelum waktu yang ditetapkan.

“Siasatan awal mempercayai peniaga ini sudah mula melakukan urusan jual beli seawal jam 10 pagi dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Bagi yang tidak berpuasa iaitu makan dan minum serta menghisap sebarang tembakau boleh didakwa mengikut Seksyen 26 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Nombor 2 1985 yang memperuntukkan denda RM500 atau penjara tiga bulan dan kesalahan kali kedua boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kuih-muih yang dijual sebelum jam 3 petang dirampas pihak berkuasa.
Kuih-muih yang dijual sebelum jam 3 petang dirampas pihak berkuasa.

Perbuatan dan pakaian tidak sopan pula boleh menyebabkan pesalah didakwa mengikut Seksyen 5 enakmen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, sehingga hari ini jabatan itu merekodkan 16 kes siasatan bagi yang tidak berpuasa iaitu dua kes dibawa ke mahkamah, manakala 12 kes lagi diberikan notis hadir sesi khidmat nasihat.

“Sementara kes-kes lain diberikan notis hadir sesi khidmat nasihat berjumlah 66 kes berpakaian tidak sopan dan dua kes perbuatan tidak sopan.

“Operasi hari ini pula diadakan dua sesi iaitu sesi pertama fokus kepada serbuan tidak berpuasa, manakala sesi petang difokuskan kepada perbuatan dan pakaian yang tidak sopan di bazar Ramadan.

“Penguatkuasaan bagi mencegah orang tidak berpuasa ini akan diteruskan sehingga akhir Ramadan, manakala tindakan berterusan sepanjang masa juga akan dilakukan terhadap perbuatan dan pakaian yang tidak sopan. Jadi, menasihatkan orang ramai supaya mematuhi segala undang-undang syariah di negeri ini bagi mengelak dikenakan tindakan tegas,” katanya.