Johor rekod kehadiran 3.4 juta pelancong

Cai Tung (tengah) bersama Mohamaddin ketika memotong riben gimik pembukaan Hotel Trove.
A
A

JOHOR BAHRU - Johor merekodkan seramai 3.4 juta pelancong domestik dan antarabangsa sekurang-kurangnya menginap satu malam di negeri ini sejak Januari hingga Jun lalu.

Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, bagi keseluruhan tahun lalu, Johor menerima kehadiran 7.4 juta pelancong sekurang-kurangnya menginap satu malam di negeri ini.

"Johor juga gembira dengan peningkatan pelancong domestik dan antarabangsa menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

"Dari Januari hingga Julai lalu, LTAS merekodkan 1.9 juta penumpang berbanding 1.5 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

"Ini bermakna peningkatan 21.08 peratus. Saya percaya LTAS berada di landasan untuk mencapai sasaran 3.4 juta penumpang menjelang hujung tahun ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Hotel Trove, semalam.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Selain itu, Cai Tung berkata, sektor perkhidmatan dan hospitaliti di negeri ini menyumbang secara signifikan dalam peningkatan perbelanjaan purata di kalangan pelancong yang sekurang-kurangnya menginap satu malam di Johor.

"Pada 2017, Johor merekodkan jumlah perbelanjaan pelancong sebanyak RM23.45 bilion berbanding RM21.51 bilion pada 2016.

"Ia menterjemahkan purata RM3,166.47 dibelanjakan bagi seorang pelancong pada tahun 2017 berbanding RM3,068.24 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kuasa berbelanja dan kehadiran pelancong menambah permintaan terhadap hotel dan penginapan di negeri ini.

"Setakat ini, Johor mempunyai 156 hotel dan hotel bajet berdaftar yang menawarkan 17,542 bilik setakat 16 Disember lalu.

"Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi untuk menampung pertambahan kehadiran pelancong ke negeri ini.

Permintaan terhadap hotel empat dan lima bintang adalah tinggi di kalangan pelancong terutama warga Singapura,” katanya.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia