Rasuah: Lapan penguatkuasa JPJ, bekas anggota SPAD didakwa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Lapan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 164 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM135,810 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua mereka turut berdepan 164 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Lapan penguatkuasa JPJ itu ialah Pemeriksa Kereta Motor, JPJ Pulau Pinang, Muhamad Shukri Ishak, 36, Pembantu Penguat Kuasa, Muhammad Firdaus Jaafar, 46, Pemeriksa Kereta Motor, Khairol Naim Mat Desa, 34, Pembantu Penguat Kuasa, M Muniandy, 45, Pemeriksa Kereta Motor, Noorzaimi Effendi Salleh, 36, dan Pembantu Penguat Kuasa, Mohd Fairdaus Ishak, 35.

Turut didakwa ialah Pembantu Penguat Kuasa, Katimi Azmi, 35, Pembantu Penguat Kuasa, Pirdaus Abd Karim, 34, dan bekas Pembantu Penguat Kuasa SPAD Wilayah Utara, Mohd Noor Fadzny Noordin, 32.

Pada prosiding hari ini, Muhamad Shukri berdepan 16 pertuduhan utama dan 16 pertuduhan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM24,000; Muhamad Firdaus didakwa atas 33 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM10,950; Khairul Naim dituduh atas 13 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM24,000 dan Muniandy berdepan 15 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai keseluruhan RM10,150.

Sementara itu, Norzaimi turut berdepan 18 pertuduhan utama dan alternatif melibatkan nilai rasuah sebanyak RM23,550; Mohd Fairdaus didakwa atas 15 pertuduhan utama dan alternatif membabitkan nilai RM4,210, Katimi (11 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM16,600); Pirdaus (13 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai RM8,600) manakala Mohd Noor Fadzny didakwa atas 30 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai RM13,650.

Kesemua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan alternatif yang dihadapi mereka ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat-syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah bank di Bukit Mertajam di sini di antara Januari 2015 dan Ogos 2018.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh berserta seorang penjamin dan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM11,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan kes. - Bernama