32 PATI dipenjara tiga bulan

Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah memasuki negara melalui jalan tidak diwartakan.
Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah memasuki negara melalui jalan tidak diwartakan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas dakwaan cuba memasuki negara melalui jalan tidak sah pada 15 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang terdiri daripada 26 lelaki dan enam wanita berumur dalam lingkungan 23 hingga 46 tahun didakwa berada di dalam air di pesisiran pantai Tanjung Lompat Desaru dengan maksud memasuki perairan Malaysia tanpa menerusi jalan yang diwartakan kira-kira jam 8.10 malam.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan terhadap akta itu yang mana tidak ada penalti yang diperuntukkan hendaklah apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh bagaimanapun merayu agar hukuman diringankan berikutan mempunyai tanggungan keluarga di negara mereka.

Majistret Mazana Sinin kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan bermula dari tarikh tangkapan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Syazana Abd Lajis manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: