Sampah plastik luar negara di pedalaman Perak tidak benar

Pavel dan Abdul Aziz menunjukkan sampah plastik di kawasan lambakan sampah plastik
Pavel dan Abdul Aziz menunjukkan sampah plastik di kawasan lambakan sampah plastik
A
A
A

IPOH - Laporan akhbar Daily Mail dari United Kingdom yang mendakwa konon wujudnya lambakan sampah plastik dari luar negara di sebuah kawasan hutan pedalaman di negeri Perak adalah tidak benar.

Perkara berkenaan dibuktikan hasil lawatan Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke kawasan perindustrian IGB Tasek hari ini.

Lawatan berkenaan mendapati lambakan sampah plastik berkenaan sebenarnya berada di sebuah tapak sementara milik sebuah kilang yang memproses sisa buangan industri berasaskan getah untuk dijadikan bahan api alternatif.

Difahamkan, kawasan lambakan sampah plastik berkenaan yang dijadikan sebagai tempat simpanan sementara bagi menempatkan bahan-bahan buangan berasaskan getah dan plastik daripada kilang-kilang tempatan.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Resourceco Asia (M) Sdn Bhd, Pavel Chech berkata, pihaknya menempatkan semua sampah yang berasaskan plastik dan getah itu disimpan di kawasan berkenaan buat sementara waktu sebelum diproses menjadi bahan api alternatif.

Menurut Pavel, kesemua sampah berkenaan adalah bahan mentah utama yang bakal membantu proses penyediaan bahan api alternatif berkenaan.

“Secara keseluruhannya, semua bahan-bahan buangan yang disimpan di sini adalah daripada bahan-bahan yang berasaskan kepada produk-produk plastik dan getah.

“Bahan buangan sampah plastik ini juga boleh dianggap sebagai bahan mentah bagi tujuan memproses bahan api alternatif iaitu bahan produk utama syarikat kami.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun kami hanya menempatkan sampah plastik ini hanya buat sementara di sini kerana menantikan gudang di kilang kami siap menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Abdul Aziz pada sidang media di tapak lambakan sampah plastik
Abdul Aziz pada sidang media di tapak lambakan sampah plastik

Tambah Pavel, kesemua barangan berkenaan akan dipindahkan sepenuhnya ke gudang baharu pada penghujung tahun ini.

Justeru katanya, sementara menantikan gudang berkenaan siap pihaknya memerlukan sebuah tapak bagi menempatkan kesemua barangan berkenaan.

“Dalam tempoh menantikan gudang berkenaan siap sepenuhnya, kita perlukan tempat untuk meletakkan kesemua bahan-bahan mentah (sampah plastik) yang akan kita proses sebagai bahan api alternatif.

“Selain itu, kita juga sudah mendapatkan kebenaran untuk meletakkan ‘sampah-sampah plastik’ ini di sini,” katanya.

Pavel turut menafikan laporan yang mengatakan sampah plastik berkenaan datang dari luar negara kerana selama ini kilangnya mendapat ‘bekalan’ sampah plastik ini daripada syarikat-syarikat tempatan dan berdaftar dari negara ini.

Malah katanya, kebanyakan bekalan berkenaan datangnya daripada syarikat-syarikat pengeluar seperti pengeluar kasut termasuk kilang-kilang yang menjalankan operasi bagi barangan kitar semula.

“Selain itu bahan berasaskan plastik yang tidak dapat dikitar semula disebabkan warna, komposisi dan sebagainya juga akan dihantar kepada kami untuk diproses menjadi bahan api.

“Pihak berkuasa juga ada memiliki senarai lengkap pelanggan-pelanggan kami dan kami juga memberitahu dengan siapa dan dari mana kami mendapat bahan-bahan berkenaan,” katanya.

Lambakan sampah plastik kawasan perindustrian IGB Tasek. Gambar kecil, Norazizi.
Lambakan sampah plastik kawasan perindustrian IGB Tasek. Gambar kecil, Norazizi.

Sementara itu Pengarah JAS Perak, Norazizi Adinan mengesahkan bahawa segala sisa sampah plastik serta sisa buangan industri di tapak berkenaan datangnya dari kilang di negara ini dan bukannya dari luar negara sebagaimana yang dilaporkan di akhbar Daily Mail.

Katanya, pihak JAS menerima senarai 40 jenis industri yang menghantar bahan buangan bukan toksik untuk dikitar semula dan menjadi bahan api kepada kilang-kilang simen di negeri ini.

“Lagi satu, kawasan ini adalah kawasan perindustrian IGB Tasek Ipoh, Perak dan bukan kawasan hutan. Ini kawasan Industri, bukannya kawasan hutan seperti mana yang dikatakan.

“Kita memang pantau dan periksa kesemua bahan yang kebanyakannya ada yang dari kilang makanan, kilang pembungkusan jadi kita periksa kesemuanya untuk pastikan apa yang masuk ke Perak bukanlah sisa toksik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Segera siasat laporan akhbar luar negara

ARTIKEL BERKAITAN Malaysia hantar semula 60 kontena sisa sampah haram