MAHB raih anugerah kepimpinan hijau

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meraih Anugerah Perniagaan Tanggungjawab Asia (AREA) 2019 atas usahanya menerajui inisiatif kelestarian hijau serta mencipta nilai untuk industri penerbangan.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata anugerah itu diterima dalam satu majlis yang berlangsung di Taiwan baru-baru ini, bagi mengiktiraf inisiatif kelestarian di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, MAHB telah memulakan projek ‘Embracing Energy Efficiency for Sustainable Aviation’ untuk mencapai pelbagai kesan alam sekitar positif pada 2018.

Justeru itu, beliau berkata anugerah berkenaan menjadi inspirasi kepada semua pihak pemegang kepentingan lapangan terbangnya untuk menerima pakai sepenuhnya Piagam Kelestarian KUL, yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

MAHB juga aktif melaksanakan pelbagai strategi, termasuk penggunaan air sejuk untuk sistem penyejukan penghawa dingin, sistem pengendalian bagasi automatik cekap tenaga, sensor karbon dioksida serta cekap pencahayaan di kawasan lapangan terbang.

Selain itu, MAHB turut mempunyai tapak solar untuk menjana elektrik bagi operasi bangunan terminal dan pemasangan cekap air pintar bagi mengurangkan penggunaan air.

Tapak solar itu menjana 13,452,899 kWh elektrik, mewakili 32 peratus daripada penggunaan terminal berkenaan.

Raja Azmi berkata klia2 telah mencapai sasaran pengurangan karbon 132tCo2 pada 2018.

“Bagi 2019, sasaran ditetapkan lima peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, iaitu pada 3.288.6tCo2,” katanya. - Bernama