Pemandu teksi terlibat kumpulan Daesh dijel 10 tahun

Hukuman terhadap Mor Mizan itu ditetapkan berjalan serentak dan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai 2016.
Hukuman terhadap Mor Mizan itu ditetapkan berjalan serentak dan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai 2016.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah melibatkan diri dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh seorang pemandu teksi dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Mizan Panijan, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi tiga kes yang dihadapi Nor Mizan, Mohd. Sofian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, enam tahun bagi pertuduhan kedua dan tiga tahun bagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun berikutan hukuman itu ditetapkan berjalan serentak dan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai 2016.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Mohd. Sofian berkata, terdapat bukti secara jelas tertuduh terlibat dalam kumpulan Daesh melalui bukti-bukti berbentuk perbualan dalam telegram, transaksi wang, selain gambar-gambar yang terdapat dalam telefon bimbitnya.

"Pembelaan yang diberikan tertuduh semasa membela diri bersifat penafian semata-mata juga mendapati pembelaan yang dibuat tertuduh semasa perbicaraan bela diri adalah penafian semata-mata.

Mahkamah juga berpuas hati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan tertuduh telah terang-terangan beri sokongan kepada pengganas IS melalui perbualan dengan Gagak Hitam dan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama Nor Mizan didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas melalui aplikasi telegram kumpulan 'Gagak Hitam' menggunakan nama ‘mrzak786' di dalam telefon bimbit jenis iPhone di rumahnya di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves di sini pada 30 Mac dan 2 April 2016.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan penjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas yang bernama Muhammad Wanddy Mohamed Jedi, 26, dengan cara memasukkan RM70 ke akaun Maybank Bhd. milik Mohd. Haniffa Syedul Akbar dan memasukkan RM20 ke akaun Maybank milik Bukhori Che Noor bagi manfaat pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui mesin deposit tunai (CDM) Maybank di aras bawah, Menara Hup Seng, Jalan P. Ramlee, di sini antara 1 Februari dan 4 April 2016.

Dakwaan bagi kesalahan itu pula dikemukakan mengikut Seksyen 130Q(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga yang juga pertuduhan pindaan, dia didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan Daesh iaitu 21 video dan 10 gambar di dalam telefon bimbit yang sama dilokasi sama pada pukul 7. 20 malam pada 15 Julai 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Syahredzan Johan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya menanggung keluarga dan dua anak hasil perkahwinan pertama serta turut menanggung ibunya yang sudah tua.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Azlin Rasdi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira keseriusan kes dan faktor kepentingan awam.