Aduan kes penipuan dalam talian kedua tertinggi

Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Aduan kes penipuan dalam talian semakin meningkat dan kini menjadi aduan kedua tertinggi selepas aduan peningkatan harga barang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Secara purata, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerima 25 peratus aduan daripada pengguna mengenai kes penipuan dalam talian pada setiap bulan manakala kenaikan harga barang pula 35 peratus.

"Dulu aduan pengguna tentang penipuan dalam talian berada pada kedudukan ketujuh atau lapan, tetapi kini sudah di posisi kedua di belakang aduan peningkatan harga barang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan.

Saifuddin berkata peningkatan drastik itu berlaku dalam tempoh setahun dan ia perlu diberi perhatian seiring trend perniagaan e-dagang yang semakin berkembang.

Beliau berkata e-dagang adalah satu trend perniagaan yang baik dan tidak boleh disekat tetapi ia tetap mempunyai implikasi tertentu kerana peniaga dalam talian tidak terikat dengan etika perniagaan yang sihat.

Saifuddin bagaimanapun berkata kementerian sentiasa menjalankan aktiviti mendidik peniaga dalam talian supaya mengamalkan etika perniagaan yang baik dan berlaku adil kepada pengguna.

Kementerian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga telah mewujudkan BizTrust yang berperanan mendaftarkan setiap syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian atau e-dagang, katanya.

"Dengan itu, pengguna boleh memeriksa sama ada transaksi yang dijalankan dengan syarikat itu adalah terjamin berdasarkan penarafan BizTrust yang tercatat di profil syarikat dalam rekod SSM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif lain yang diambil bagi mengatasi masalah itu ialah dengan meningkatkan jumlah denda yang dikenakan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada RM50,000 daripada RM25,000 sebelum ini, katanya. - Bernama