Dakwaan YaPEIM rugi: Tiga hari untuk mohon maaf

Sidang media Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengenai hala tuju YaPEIM di Ibu Pejabat YaPEIM hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Sidang media Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengenai hala tuju YaPEIM di Ibu Pejabat YaPEIM hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memberi tempoh tiga hari sehingga Jumaat ini kepada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak benar berkenaan yayasan itu untuk melakukan permohonan maaf.

Baru-baru ini, sebuah portal berita mendakwa YaPEIM dilaporkan mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu sedangkan perkara itu tidak benar.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, tidak berlaku kerugian operasi seperti didakwa dan tuduhan sebegitu boleh menjejaskan nama baik dan prestasi yayasan berkenaan.

“Tindakan undang-undang paling kurang adalah permohonan maaf daripada pihak yang merasai mereka buat kenyataan tidak betul.

“Kalau kita rasa reputasi terjejas, kita akan mendapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan selanjutnya. Saya rasa kita beri tempoh munasabah, mungkin dalam masa tiga hari sehingga hari Jumaat.

“Kalau boleh pada hari yang baik itu, ada permohonan maaf daripada mereka kalau ada keterlanjuran atau salah memetik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat YaPEIM di sini tengah hari tadi.

Portal tersebut turut mendakwa kerugian berlaku apabila YaPEIM gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kilogram dengan nilai RM80 juta dari 2012 hingga 2014.

Menurutnya lagi, pengurusan YaPEIM kemudian mengarahkan Ar-Rahnu menjual semua barang kemas itu kepada anak syarikat milik penuhnya, Input YaPEIM untuk menutup kerugian tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Keseluruhan nilai (jualan emas) adalah RM62.18 juta bukanlah RM80 juta seperti didakwa. Dakwaan yang menyatakan 388 kilogram (jumlah sebenar dalam rekod) dijual kepada Input YaPEIM juga adalah tidak benar.

“Jualan sebenar telah dilaksanakan kepada pembida luar adalah sebanyak 64 peratus daripada keseluruhan jumlah emas manakala selebihnya kepada Input YaPEIM,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah tindakan YaPEIM sekiranya pihak berkaitan tidak memohon maaf selepas tempoh ditetapkan, Mohd Daud berkata, pihaknya akan pertimbangkan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Di Malaysia, setiap orang berhak mendapat khidmat perundangan untuk menjaga nama baik, reputasi, salah dan benar dari perspektif undang-undang,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau mengajak masyarakat khususnya 330,000 penyumbang utama Tabung Amanah YaPEIM tidak lagi gusar dan ragu-ragu dengan agihan dan penggunaan wang amanah yayasan.

“Berita-berita sensasi yang tular di media adalah kes-kes lama dan semuanya dalam pengetahuan LPA YaPEIM yang baharu.

“Tindakan dan siasatan tanpa pilih kasih sedang berlangsung dan kami boleh memberi jaminan prosesnya akan bertepatan dengan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.