Peguam Muhammad Adib perlu dikekalkan: Noh Omar

Noh Omar
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mencadangkan supaya peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor kekal sebagai peguam yang hanya mewakili keluarga anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, Syazlin perlu kekal sebagai mengendalikan inkues kematian Muhammad Adib bukan sebagai peguam kementerian yang mempunyai kaitan dengan kerajaan tetapi hanya untuk ahli keluarga anggota bomba dan penyelamat itu.

Tambahnya, kredibiliti Syazlin yang dikatakan begitu tegas dan agresif mungkin akan membantu dalam memberi keadilan kepada Muhammad Adib.

“Saya mengikuti rapat perkembangan kes Adib dari mula. Sebagai bekas menteri menjaga bomba saya memang mengambil berat kebajikan bomba ketika di KPKT.

“Hari ini berita penarikan diri peguam yang mewakili KPKT dalam kes Adib agak memeranjatkan saya.

“Bila meneliti tindakan peguam tersebut memanggil Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bagi saya itu satu tindakan yang perlu disokong,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya malam tadi.

Menurutnya lagi, sebagai peguam dan bekas menteri beliau memahami pelantikan mana-mana peguam untuk mewakili kementerian seharusnya mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Noh turut mempersoalkan sama ada wujud sandiwara politik apabila Syazlin menarik diri selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.

Terdahulu, prosiding perbicaraan inkuiri kematian Muhammad Adib yang memasuki hari ke -39 semalam tergendala berikutan Syazlin yang mewaikili KPKT menarik diri sebagai pihak berkepentingan.

Tindakan Syazlin itu dipercayai ada kaitan dengan sepucuk surat yang diterimanya.

Difahamkan surat tersebut dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam undang-undang.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariaman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari dirawat.

ARTIKEL BERKAITAN Inkues Adib: Prosiding tergendala, peguam tarik diri

ARTIKEL BERKAITAN
Inkues Adib: Sepucuk surat punca peguam tarik diri?


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia