SWM keluarkan kos tambahan RM300,000

Maszlee (duduk, tiga dari kiri) bersama Mohd Zan (kiri) dan Mohd Norlisam (tiga dari kanan) sewaktu program SWM Kasih Santun Ramadan di Masjid Al-Hidayah Kampung Batu Enam, Simpang Renggam semalam.
Maszlee (duduk, tiga dari kiri) bersama Mohd Zan (kiri) dan Mohd Norlisam (tiga dari kanan) sewaktu program SWM Kasih Santun Ramadan di Masjid Al-Hidayah Kampung Batu Enam, Simpang Renggam semalam.
A
A
A

SIMPANG REGGAM - SWM Environemnt terpaksa mengeluarkan kos tambahan kira-kira RM300,000 untuk menghantar sisa pepejal dari tiga kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke Tapak Pelupusan Sanitari Seelong.

Pengurus SWM Environment Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, sisa pepejal dari tiga kawasan PBT iaitu Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Daerah Simpang Renggam terpaksa dihantar ke Seelong selepas Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP 1 di Renggam ditutup pada 26 Mac lalu.

"Tempat pelupusan ini adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan kami (SWM Environment) cuma operator sahaja dan kami hanya mematuhi arahan penutupan ini dari kerajaan sahaja dan sepanjang tempoh ini, sisa-sisa pepejal di tiga kawasan ini akan dihantar ke Seelong.

"Jadi, kami terpaksa mengeluarkan kos tambahan kira-kira RM300,000 sebulan untuk pengangkutan dan biasanya kos tersebut akan bertambah pada hari-hari tertentu seperti musim perayaan yang akan meningkatkan jumlah laluan kutipan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media pada program SWM Kasih Santun Ramadan di Masjid Al-Hidayah Kampung Batu Enam semalam.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik itu turut dihadiri oleh Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Penghulu Mukim Renggam, Asmi Mislan.

Menurutnya, walaupun jarak penghantaran sisa pepejal ini bertambah, pungutan sisa-sisa pepejal di kawasan terlibat juga tidak terganggu kerana indeks penilaian prestasi (KPI) telah ditetapkan iaitu setiap kumpulan perlu bertanggungjawab 800 hingga 1,200 rumah.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menghentikan sepenuhnya operasi pelupusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Ladang CEP 1 berkuat kuasa 26 Mac lalu berikutan laporan limpahan air larut resap ke sungai berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, seramai 60 asnaf termasuk ibu dan bapa tunggal menerima barangan keperluan harian dan kit Hari Raya Aidilfitri melalui Program SWM Kasih Santun Ramadan yang diadakan setiap tahun ini.

"Program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dan ini cara kami memberi semula kepada komuniti dalam bentuk bantuan dan selain itu kami turut memberi dana pembangunan sebanyak RM1,000 kepada Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah.

“Kami bukan sekadar memberi sumbangan, malahan turut memberikan kesedaran mengenai amalan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal di punca (PDSP) melalui sesi taklimat bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat," katanya.