X

Kindly register in order to view this article
!

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Shahrim Karim)
A
A

SHAH ALAM - Tabiat menikmati makanan secara banyak dan bercampur-campur pada bufet Ramadan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada tubuh badan.

Pakar pemakanan, Prof Madya Dr Shahrim Karim berkata, tabiat untuk mencampur makanan laut dengan makanan darat terutamanya dalam hidangan bufet misalnya, tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada tubuh badan.

“Bila kita sudah menghabiskan duit yang banyak untuk membayar bufet dan kita lihat makanan yang ada, semua kita mahu ambil untuk memuaskan hati sedangkan tindakan itu boleh memudaratkan tubuh badan.

“Sepatutnya apabila berbuka, kita perlu makan makanan yang ringan seperti buah-buahan dahulu dan seterusnya peringkat demi peringkat bagi memudahkan pencernaan dalam tubuh badan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Shahrim berkata, sebagai pakar makanan, beliau melihat kebanyakan rakyat Malaysia kini mudah untuk mendapat penyakit dan salah satu puncanya adalah faktor kegagalan menjaga cara pemakanan.

“Kita tidak boleh bermewah-mewahan dalam pemakanan. Melanggan bufet Ramadan sehingga harganya mencecah RM150 dan ke atas sepatutnya dielakkan. Sebagai orang Islam, kita perlu bersederhana dalam pemakanan sewaktu berbuka.

“Contohnya, jika kita makan terlampau kenyang semasa berbuka, badan kita akan rasa lemah dan letih,” tegasnya.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Mohd Hakim Zakaria pula berkata, tiada isu mengenai juadah berbuka yang pelbagai memberi kesan kepada kesihatan asalkan sahaja mengambil makanan dalam kuantiti betul.

“Dari segi kepelbagaian makanan itu tiada isu, memang kita dituntut makan variasi makanan yang mempunyai pelbagai nutrisi dan zat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Namun, ia tidak elok jika diambil secara berlebihan.

“Kalau pengambilan itu dalam kuantiti yang sederhana dan boleh diterima, ia tidak ada masalah. Tapi kalau makan nasi kerabu dengan murtabak dan ditambah dengan makanan lain, dari segi kalori ia sudah berlebihan.,” jelas beliau.