‘Tak larat tanggung rugi’

Beberapa pemilik tanah bimbang limpahan air tidak terawat ke kawasan kebun getah dan buah-buahan menyebabkan kerugian.
Beberapa pemilik tanah bimbang limpahan air tidak terawat ke kawasan kebun getah dan buah-buahan menyebabkan kerugian.
A
A
A
BUKIT SELAMBAU - Beberapa pemilik kebun dekat Kampung Padang Sekawan hilang punca setelah menyedari berlaku limpahan air tidak terawat di kawasan seluas kira-kira 2.5 hektar dipercayai berpunca dari loji air berhampiran.

Mansor Ismail, 67, mendakwa, kejadian sama pernah berlaku pada 2006 apabila lebih 300 batang pokok terdiri daripada pokok getah, durian, nangka, manggis dan lain-lain milik kesemua pengusaha kebun musnah ditenggelami air.

Menurutnya, kejadian lalu menyebabkannya kerugian besar apabila 200 daripada 500 pokok getah yang diusahakannya mati akibat terkena limpahan air tidak terawat, menyebabkan dia melakukan penanaman semula.

"Saya tak mau perkara sama berulang, kalau jadi lagi, habis tanaman kami musnah macam dulu, tak kan pisang nak berbuah dua kali,” katanya.

Menurut Mansor, proses pemulihan tanah mengambil masa agak panjang bagi membolehkan anak pokok hidup semula selepas kejadian pertama, selebihnya gagal membesar berdasarkan kepada kesan jangka panjang menyebabkan tanah kurang subur, pokok sukar hidup dan tumbesaran terbantut.

Abangnya, Jaafar, 65, berkata, beliau bimbang sekiranya kejadian limpahan air tidak terawat berulang memandangkan 12 tahun lalu pernah merasai keperitan menanggung derita bagi membangunkan semula tanaman baharu. "Dulu saya kena dalam 70 batang pokok getah dan buah-buahan seperti manggis dan buluh lemang, habis semua mati, air melimpah sampai ke lutut masa tu.

"Bayangkan pokok-pokok ni terendam dalam tempoh yang lama, sebab air tak tau nak tuju ke mana, bila dah tersumbat, penuh lumpur, maka bertakunglah dalam kebun.

"Masa tu pokok getah masih belum matang dan belum sampai masa untuk motong. Kami takut bila tengok air melimpah dua tiga bulan kebelakangan ini warna keruh macam nak putih.

"Jenuh kalau berlaku lagi kejadian sama, ke mana kami nak mengadu lagi,” luahnya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Megat Haron Megat Hamid, 57, berkata, pihaknya juga menyedari berlakunya limpahan air loji ke kawasan kebun miliknya sehingga menyebabkan saliran air sempit, tanah berlumpur dan air bertakung.

"Sebelum ni saya tanam buah limau madu, durian, nangka dan mempelam, bila air melimpah tahun 2006 tu, habis mati dalam 90 batang pokok,” jelasnya.

Menurutnya, selepas aduan dikemukakan, kerja-kerja mengalihkan laluan saliran dilakukan pihak berkaitan selain mendalamkan parit dalam kawasan kebun terjejas.

Katanya, kejadian terbaharu beberapa bulan ini disedari apabila tiada lagi air yang jernih mengalir sebaliknya limpahan air, lumpur dan akhirnya bertakung menyebabkan tanaman tenggelam.

"Saya juga perasan pokok-pokok buah makin sakit, kulitnya merekah, daunnya berguguran dan bimbang ia bakal menerima nasib sama kira-kira 12 tahun lalu.

"Banyak sangat dah aduan kami buat, kami harap sangat pihak berkuasa turun padang pantau keadaan ini.

"Dulu air di sini boleh mandi dan berkelah, ada ikan keli, haruan dan puyu tetapi kalau macam ni gaya keadaan sekarang, bagaimana nak berkelah, tangkap ikan?

"Sedangkan pokok-pokok juga menerima kesan sampingan yang akhirnya mati, apakah ini bukti menunjukkan air limpahan loji berbahaya untuk hidupan? Tak larat kami nak tanggung lagi,” katanya.

SADA minimakan buangan air LRA Sementara itu, jurucakap Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkata, sistem perparitan di luar kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau telah lama wujud dan ianya digunakan penduduk setempat termasuk loji rawatan air tersebut. Menurut kenyataan terbabit, semua air di kawasan setempat termasuk dari sistem perparitan LRA dan air hujan akan masuk ke sistem perparitan luar tersebut.

"Untuk makluman, sistem perparitan di luar bukan bawah seliaan dan selenggaraan pihak SADA.

"Namun begitu, bagi meminimakan jumlah buangan air dari LRA tersebut, pihak SADA sedang menjalankan kerja-kerja pengorekan ‘lagoon’ yang akan mengambil masa untuk disiapkan disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu pada masa kini,” katanya.