Perangsang Selangor fokus empat sektor perniagaan

Raja Shahreen Raja Othman
Raja Shahreen Raja Othman
A
A
A

SYARIKAT pegangan pelaburan, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) akan menumpukan empat sektor perniagaan bagi menjayakan Pelan Transformasi Perniagaan (BTP) syarikat itu.

Pengerusinya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, sektor tersebut adalah perkilangan, perdagangan, pelesenan serta infrastruktur yang dilihat mampu meningkatkan potensi syarikat pada masa akan datang.

“Langkah ini juga dibuat berikutan kita tidak lagi terbabit dalam industri air selepas menjual semua kepentingan dalam Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), baru-baru ini.

"Menerusi pengambilalihan yang dilakukan sejak pelaksanaan BTP pada 2016, kami berusaha memperluaskan lagi jangkauan di peringkat global selain memastikan aspek geografi, sektor dan produk dapat dipelbagaikan. Gabungan usaha itu akan memperkukuh lagi kedudukan Perangsang Selangor dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu di sini, baru-baru ini.

Raja Shahreen berkata, pihaknya yakin langkah itu dapat menjana pulangan lebih tinggi bukan sahaja kepada Perangsang Selangor, tetapi juga untuk para pemegang saham syarikat tersebut.

"Selain itu, Perangsang Selangor akan turut memuktamadkan pengambilalihan Toyoplas Manufacturing (Malaysia) menerusi undian pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual pada akhir Julai ini.

“Kita sudah memeterai perjanjian perkongsian jualan bersyarat dengan Toyoplas Consolidated Ltd bagi tujuan pengambilalihan itu sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 April lalu, syarikat bersekutu milik 30 peratus Perangsang Selangor, SPLASH Holdings menerima tawaran pengambilalihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) daripada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Tawaran itu melalui perolehan 50,000,000 saham biasa bernilai RM1.00 sesaham dan 350,000,000 Saham Pinjaman Tanpa Cagaran Boleh Tebus di dalam SPLASH untuk balasan tunai sebanyak RM2.55 bilion pada 9 Ogos 2018. - Bernama