Tindakan sekolah timbulkan pertikaian

Sebahagian rakaman klip video yang dimuat naik Cally di Facebook miliknya.
Sebahagian rakaman klip video yang dimuat naik Cally di Facebook miliknya.
A
A
A

IPOH – Tindakan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Simpang, Taiping menamakan sebuah bangunan dengan nama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menimbulkan pertikaian kerana disifatkan bermotif peribadi.

Pertikaian itu mula dibangkitkan Ketua Biro Bahasa Malaysia MCA Perak, Cally Ting menerusi satu klip video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, 21 Mei lalu.

Ketika dihubungi, Cally berkata, bangunan dengan tanda nama setinggi tiga tingkat itu kononnya, sebagai penghormatan kepada Kor Ming yang juga ADUN Aulong kerana membantu mendapatkan bantuan geran berjumlah RM220,000 untuk sekolah berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan ‘mengabadikan’ nama pada bangunan sama sekali tidak wajar memandangkan ia bukan sumbangan peribadi, tetapi peruntukan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan.

"Ia jelas penghormatan kepada individu bukannya kepada kerajaan mahupun kementerian, jadi nampak tidak betul caranya di situ. Jika wang berkenaan didermakan sendiri mungkin agak berbaloi buat seperti itu walaupun nampak seperti lucu, tetapi ini dana daripada kementerian.

“Saya kira belum pernah ada mana-mana nama ahli politik diabadikan sebegini, tambahan pula ini bangunan sekolah yang sepatutnya bebas daripada unsur politik," katanya.

Nama Nga Kor Ming selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat diabadikan pada sebuah bangunan sekolah.
Nama Nga Kor Ming selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat diabadikan pada sebuah bangunan sekolah.

Beliau berkata, video klip berdurasi dua minit 21 saat itu dimuat naik bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kor Ming sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menerusi video itu, dia mengutarakan tiga persoalan iaitu sama ada wakil rakyat DAP itu pernah memberikan sumbangan peribadi kepada sekolah berkenaan; adakah penamaan bangunan tersebut merupakan tanda penghargaan kerana telah banyak membantu sekolah serta apakah kos yang digunakan dibayar menerusi peruntukan yang diterima daripada kementerian.

"Sejak isu ini dibangkitkan, beliau masih enggan memberikan sebarang ulasan, hanya pengurusan sekolah yang mengeluarkan kenyataan mereka," katanya.

Menerusi laporan akhbar Cina, Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah terbabit menjelaskan, pihak sekolah telah membuat ketetapan untuk menamakan bangunan tersebut atas nama mana-mana individu yang berjaya mendapatan dana RM100,000 daripada kementerian.

Oleh kerana inisiatif digerakkan Ahli Parlimen Teluk Intan itu berjaya mendapatkan geran berjumlah RM220,000, maka pihak sekolah bersetuju meletakkan nama beliau di bangunan tersebut.

Pihak sekolah juga menyatakan rasa kesal apabila tindakan itu telah disensasikan sebagai isu politik dan meminta masyarakat menghormati keputusan mereka.

Mengulas lanjut Cally berkata, kos yang digunakan bagi membina tanda nama itu sepatutnya boleh digunakan bagi tujuan pembangunan sekolah dan murid.

"Ada yang menyatakan kepada saya kosnya mencecah RM28,000 atau boleh jadi sampai ke RM40,000, dengan peruntukan sebanyak itu patut digunakan untuk aktiviti sekolah atau membiayai pelajar-pelajar kurang mampu.

"Jangan hanya kerana nak beri penghormatan, kepentingan pelajar diketepikan, ini sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya.