MAB, JAL meterai MoU, teruskan perniagaan bersama

A
A

MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) dan Japan Airlines Co Ltd (JAL) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneruskan perjanjian perniagaan bersama bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan ditawarkan kedua-dua syarikat penerbangan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata perniagaan bersama itu akan menandakan lembaran baharu yang juga akan menawarkan lebih banyak nilai kepada pelanggan.

“Tambahan kepada itu, MAB dan JAL juga mahu menjalin kerjasama dalam skop lebih luas seperti bertukar-tukar amalan terbaik, mengkaji usaha sama dalam bidang operasi yang lain seperti kargo dan membangunkan pelancongan bersama di kedua-dua pasaran,” kata mereka.

Mereka berkata permohonan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, memohon pengecualian/imuniti daripada undang-undang anti-amanah.

“Sekiranya diluluskan, kedua-dua syarikat penerbangan akan menawarkan opsyen perjalanan mudah dan selesa kepada pelanggan menerusi rangkaian komprehensif di Malaysia dan Jepun, dan berhasrat memulakan perniagaan bersama itu pada 2020 bersempena dengan Olimpik Tokyo,” kata mereka.

Pada 2012, apabila MAB memutuskan untuk menyertai perikatan Oneworld, kedua-dua syarikat penerbangan mula menawarkan operasi penerbangan perkongsian kod antara Jepun dan Malaysia.

Ketika ini, Malaysia Airlines mengendalikan perkhidmatan 12 kali seminggu, manakala Japan Airlines mengendalikan perkhidmatan tujuh kali seminggu, mewakili sebanyak 19 kali penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur-Tokyo.

Malaysia Airlines turut mengendalikan perkhidmatan harian dari Kuala Lumpur ke Osaka dan perkhidmatan dua kali seminggu dari Kota Kinabalu ke Tokyo.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAB Kapten Izham Ismail berkata perkongsian itu menawarkan peningkatan kecekapan dan rangkaian lebih komprehensif kepada pelanggan syarikat penerbangan itu dan pada masa sama memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

“Bermulanya perniagaan bersama ini amat penting terhadap pelan peniagaan jangka panjang kami yang bakal menerokai lebih banyak peluang strategik, serta menjalin lebih banyak kerjasama,” kata Izham.

Presiden JAL Yuji Akasaka berkata usaha sama itu berpotensi meningkatkan lagi trafik penumpang antara kedua-dua negara dan membuka peluang komersial. - Bernama