Menipu jadi bomoh, dua wanita China dibelasah

Dua wanita berkenaan teruk dibelasah orang ramai.
Dua wanita berkenaan teruk dibelasah orang ramai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menawarkan khidmat sebagai bomoh dan tukang tilik menjadi punca dua wanita dibelasah sekumpulan orang ramai dalam satu kejadian di pasar Taman Megah Ria, di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini tular satu video di laman sosial Facebook yang menunjukkan dua individu yang juga warga China itu teruk dibelasah orang ramai disyaki peniaga di sana.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kejadian pukul itu dipercayai bermotifkan perasaaan tidak puas hati akibat ditipu oleh kedua-dua wanita berkenaan.

"Dua orang wanita ini warga China. Mereka buat kerja sampingan macam bomoh atau pawang tolak bala. Sebelum ini, mereka pergi ke kawasan itu ambil pelanggan. Jadi, secara tidak langsung pelanggan ini semua kena tipu.

"Ketika hari kejadian, dua suspek ini datang semula ke kawasan itu dan terserempak dengan peniaga ini (disyaki pernah menjadi pelanggan), oleh itu mereka kenal, jadi mereka bertindak mencederakan dua suspek ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, bagaimanapun tindakan tetap akan diambil kepada individu yang terlibat mencederakan wanita berkenaan kerana bersalah menggunakan cara tersendiri untuk menghukum.

Katanya, sebaiknya perkara itu (penipuan) dilaporkan kepada pihak polis terlebih dahulu berbanding terus mengambil tindakan dengan memukul kedua-dua wanita berkenaan.

"Saya perlu beritahu di sini, peniaga itu atau sesiapa sahaja, tidak boleh ambil tindakan sendiri, perlu buat laporan polis dan kita akan siasat, apa penipuan yang dilakukan dan kita akan ambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Bila anda ambil tindakan sendiri begini, kita akan siasat anda juga dan perlu tengok betulkah penipuan yang didakwa, kita perlu siasat. Laporan polis pun tidak pernah buat, kemudian ambil tindakan sebegini, saya tidak boleh bertoleransi dalam benda seperti ini," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, manakala dua wanita warga China itu direman seminggu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.