Sedih lihat rumah hangus

Api marak membakar rumah di Jalan Enggang, Felda Taib Andak, Kulai, tengah hari tadi.
Api marak membakar rumah di Jalan Enggang, Felda Taib Andak, Kulai, tengah hari tadi.
A
A
A

KULAI- Luluh hati tengok keadaan rumah hangus terbakar tetapi saya reda dengan ketentuan llahi, kata Norlaili Hasan, 40.

Rumah didiami Norlaili di Jalan Enggang, Felda Taib Andak, di sini terbakar kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, ketika dia keluar bekerja.

Katanya, sebaik menerima panggilan dari ibunya Khairiyah Hasan, 67, dia bergegas pulang kerana dua orang anaknya berusia setahun dan lima tahun dijaga ibu bapanya di rumah tersebut.

"Sebaik tiba di rumah, saya bersyukur mereka sempat keluar menyelamatkan diri.

"Turut berada di rumah ayah, Hasan Sirun, 77 dan anak saudara Farah Nabila, 21. Mereka juga selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Norlaili, ibu memberitahu dia melihat api dari bahagian ruang tengah rumah sebelum bertindak keluar dan kemudiannya api semakin marak sehinggakan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

Norlaili berkata, walaupun semua persiapan menyambut Aidilfitri termasuk baju raya hangus, baginya nyawa lebih penting.

Sementara itu, Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.57 tengah hari dan bergegas ke lokasi bersama empat anggota dan satu jentera.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi pemadaman turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Skudai dan Bandar Baru Kulai dengan tujuh anggota dan dua jentera.

Menurut Khairi, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal yang terbakar di bahagian tengah rumah.

"Kebakaran telah memusnahkan 50 peratus keseluruhan dan sebuah kereta.

"Pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadam akibat pili bomba yang jauh jaraknya.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.