Nazli gigih kumpul modal berniaga ketika masih bergelar siswa

A
A
A
TIDAK memberi alasan untuk berjaya, sentiasa menetapkan sasaran dan tingkatkan kebolehan diri dengan ilmu perniagaan adalah rahsia anak muda ini membina empayar perniagaannya sendiri.

Pengarah Alphastrats Holding Sdn Bhd, Mohamad Nazli Nasarudin, 26, memulakan perniagaannya ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kejuruteraan.

Menamatkan pengajian dalam jurusan sarjana muda pengurusan pembinaan, Nazli tidak pernah berasa satu kerugian menceburi bidang yang jauh berbeza iaitu kesihatan dan kecantikan.

Di awal penglibatannya, Nazli bermula dengan menjadi ejen dan stokis produk orang lain. Hasil keuntungan yang diperolehnya itu dikumpul dan dijadikan modal membuka perniagaan sendiri.

Berbekalkan usaha dan semangat Nazli membuka perniagaannya dengan modal sendiri sebanyak RM20,000 pada 2017. Bermula dengan pelbagai jenis produk, Nazli kini fokus pada Helozz Hair Removal.

Helozz Hair Removal merupakan produk krim buang bulu segera yang dirumus khas tanpa rasa sakit. Ia juga membantu melambatkan pertumbuhan bulu secara berterusan selain melembutkan dan melembapkan kulit.

"Idea menghasilkan produk ini tercetus ketika saya melihat masalah pada diri sendiri dan orang di sekeliling yang memerlukan kami kerap bercukur selang dua atau tiga hari sekali. Melihatkan masalah ini, saya merasakan ia adalah peluang untuk mengeluarkan produk sendiri.

"Berbekalkan pengalaman berniaga dan ilmu dalam pemasaran atas talian, saya mahu berkongsi manfaat dengan lebih ramai masyarakat di luar sana,” katanya ketika ditemubual di ibu pejabatnya di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

Bahan premium
Artikel Berkaitan:


Uniknya produk Helozz, ia dihasilkan menggunakan bahan-bahan premium dan 90 peratus semula jadi. Ia mengambil masa sehingga tujuh bulan untuk menjalankan proses kajian dan pembangunan (R&D) di sebuah makmal di Rawang, Selangor.

"Dari segi bahan, kami perlu pastikan ia benar-benar mencapai standard yang ditetapkan. Antara bahan digunakan termasuk aloe vera yang berfungsi membantu menyejukkan bahagian kulit selepas menggunakan Helozz Hair Removal.

"Kebanyakan produk sama di luar sana, akan memberi kesan pedih selepas menggunakannya. Melalui Helozz kami mahu atasi masalah itu. Selain menyejukkan ia juga bertindak sebagai pelembab. Inilah yang membezakan kami dengan produk lain di pasaran,” katanya.

Selain itu, sepanjang menjalankan proses R&D Nazli turun padang mencuba beberapa jenama lain di pasaran. Setiap kekurangan produk itu disempurnakan untuk menghasilkan Helozz.

"Selain Helozz, kami juga mengeluarkan satu lagi produk iaitu balm yang berfungsi menyejukkan dan melembapkan kulit. Selain itu kami berhasrat mengeluarkan lima produk baharu tahun ini termasuk krim pemutihan dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Buka peluang

Helozz yang mula diperkenalkan kepada pasaran tempatan awal tahun ini berjaya mencatat jualan melebihi 1,000 unit.

Bagi peringkat awal, jualan hanya dilakukan secara ‘in-house’ dan dikendalikan oleh 15 orang dalam pasukan jualan Helozz.

“Kini kami membuka peluang perniagaan kepada stokis dan ejen. Kami sasarkan untuk melantik kira-kira 500 dropshipper, 200 ejen dan lima orang stokis di setiap negeri tahun ini.

"Sebagai usahawan yang bermula ketika bergelar pelajar, ini adalah peluang untuk pelajar-pelajar universiti menjana pendapatan. Rebutlah kesempatan ini untuk menjana pendapatan sendiri walaupun masih bergelar pelajar,” katanya.

Pada masa sama, Nazli juga merancang untuk membuka pejabat pengurusan Helozz di Johor dan empat lagi di negeri lain di seluruh negara,” katanya.

Katanya, dengan pelantikan ejen, stokis dan pembukaan pejabat pengurusan Helozz, beliau sasarkan mampu meraih jualan sehingga 50,000 unit tahun ini.

"Selain itu, kami mensasarkan untuk memasarkan produk ini di butik-butik dan spa kecantikan di seluruh negara. Kami juga merancang menembusi pasaran Asia seperti Singapura dan Brunei,” katanya.

Persaingan

Persaingan perkara biasa dalam perniagaan. Dengan peningkatan produk hampir sama di pasaran, ia memberi satu cabaran buat Nazli untuk mengukuhkan jenamanya.

"Dari segi penjenamaan dan pemasaran kami perlu mengeluarkan modal yang banyak. Ia bagi memastikan jenama kami sentiasa segar di pasaran.

Kami juga perlu sentiasa meningkatkan ilmu pemasaran dan perniagaan, agar tidak ketinggalan,” katanya.