Southern Motorsport perkukuh jenama, optimis buka cawangan

A
A
A
INDIVIDU yang memiliki pemikiran bisnes, kebiasaannya melihat setiap perkara yang dilakukan sebagai satu peluang yang dinilai dari sudut potensi untuk meraih keuntungan.

Boleh dikatakan, pemikiran golongan sebegini sentiasa ligat merangka strategi dalam usaha mendatangkan pulangan.

Itulah yang dilakukan oleh Zakaria Ibrahim apabila mengambil manfaat daripada hobinya yang gemar melakukan aktiviti menjual pakaian dan kelengkapan permotoran dengan melaksanakannya lebih serius sebagai sebuah perniagaan menerusi syarikatnya Southern Motorsport Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2013.

Ternyata anak bongsu daripada 10 adik-beradik itu bijak mengambil peluang. Biarpun, pada asalnya bermula sekadar hobi dan suka-suka, rupa-rupanya dia juga mengambil peluang untuk melihat peluang 'permintaan' terhadap barangan yang dijual sebelum dia mencipta 'tawaran'.

Tidak mengalah

Lelaki berusia 45 tahun itu memberitahu, barangan yang diniagakan syarikatnya dipasarkan di bawah jenama Southern Motorsport itu telah melalui beberapa frasa cabaran dalam perniagaan sebelum jenama itu dikenali dan mendapat sambutan pelanggan.

"Pelbagai cabaran telah saya tempuh dalam perniagaan ini demi menjadikan jenama Southern Motorsport dikenali ramai.

"Saya sedar dalam perniagaan perlu gigih dan tiada istilah mengalah jika mahu bisnes kita dikenali. Apa yang saya lakukan adalah kekal fokus dan sentiasa melakukan pemerhatian terhadap aspek pasaran dan permintaan.

"Alhamdulillah, kini jenama Southern Motorsport telah dikenali ramai dan mendapat tempat dalam kalangan pelanggan-pelanggannya," katanya.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, dia pernah kerugian ribuan ringgit akibat premis perniagaannya dipecah masuk, namun dia menganggap kejadian hitam itu sebagai satu ujian dan ada hikmah di sebaliknya.

Zakaria memberitahu, ketika memulakan perniagaan itu, dia masih lagi bekerja makan gaji dan melakukan aktiviti perniagaannya kini sekadar suka-suka dalam masa sama mendapatkan pendapatan sampingan.

"Tetapi ketika itu saya rasa macam tidak puas sebab terpaksa membahagikan antara bekerja makan gaji dan membuat kerja sambilan.

"Setelah berfikir panjang, saya nekad berhenti kerja dan fokus dalam perniagaan ini. Selain itu, saya juga mahu mencabar diri sendiri dalam perniagaan," katanya yang memulakan perniagaan dengan modal awal kira-kira RM20,000 secara berseorangan.

Ilmu dan pengalaman

Sebagai sebuah perniagaan yang menawarkan produk, kualiti menjadi keutamaan Zakaria.

"Dengan menawarkan produk berkualiti seperti dijanjikan, kepercayaan pelanggan pasti akan meningkat. Malah, mereka akan kembali lagi kerana berpuas hati.

"Oleh kerana itu, bagi perniagaan yang saya kendalikan ini kepuasan pelanggan adalah keutamaan saya,” katanya yang sedang giat merangka strategi bagi membuka cawangan Southern Motorsports di seluruh negeri Johor dan Malaysia pada masa akan datang.

Zakaria memberitahu, premis perniagaan Southern Motorsports beroperasi di Plaza BCB Kluang, Johor terletak di aras G04.

"Southern Motorsport menjual pelbagai jenis pakaian, aksesori dan kelengkapan permotoran untuk golongan dewasa dan juga kanak-kanak yang ditawarkan pada kualiti terjamin pada harga berpatutan," katanya.

Rangkaian produk

Zakaria memberitahu ketika ini, Southern Motorspot memperluaskan rangkaian produk dan membina jenama dengan menyertai aktiviti permotoran secara lapangan.

"Kami aktif terlibat di dalam acara permotoran antaranya Retro Mania dan Santai Anak Utara yang berlangsung baru-baru ini.

"Dengan menyertai aktiviti secara lapangan sebegini, saya percaya ia akan mengukuhkan lagi jenama Southern Motorspot dalam pasaran dan lebih dekat dengan pembeli yang ingin mendapatkan rangkaian produk yang kami tawarkan," katanya.

Dalam pada itu Zakaria berkata, perniagaan yang menawarkan produk berkaitan bidang permotoran di Malaysia mempunyai potensi yang cerah.

"Justeru, saya menyarankan agar lebih ramai usahawan Bumiputera khususnya golongan belia supaya ambil peluang ini.

"Malah, kami di Southern Motorspot turut berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat dalam misi berkongsi pandangan atau ilmu berkaitan bidang perniagaan ini," katanya.