Jarum, Gunting dan Sekolah Vernakular

A
A
A

PAKCIK Ramli telah lama tinggal di Gurun. Di sebuah perumahan taman di Guar Chempedak. Kata Pakcik Ramli, “taman ini yang kedua tertua. Taman yang paling tua adalah di belakang Shell tu,” sambil menunjukkan jari ke satu arah.

“Di sini yang tinggal semua orang-orang pencen sahaja. Orang-orang muda sudah tidak ada. Anak-anak semua bekerja di kota. Banyak rumah ditinggal kosong tidak berpenghuni pula. Sayang juga. Lebih baik diberi sewa, “ kata Pakcik Ramli lagi.

“Pakcik Ramli lama dah tinggal di sini?’” tanya saya.

“Lama dah. Dari belum kahwin lagi. Selepas kahwin terus menetap di sini. Tak balik kampung dah. Lagipun semua ada di sini. Cukup lengkap. Jiran-jiran pun baik,” kata Pakcik Ramli sambil menghulurkan resit sumbangan majlis berbuka puasa dan tahlil untuk sepanjang bulan Ramadan.

Pakcik Ramli juga merupakan bendahari masjid. Kata beliau lagi, “ Pakcik tak boleh duduk diam. Kena buat kerja. Paling penting biar otak selalu berfikir. Baru badan sihat. Kalau tidak akan jadi lenguh-lenguh sendi pula. Sebab tu buat kerja lagi. Lagipun orang muda tak nak jadi bendahari. Lebih-lebih lagi bendahari masjid.”

“Tinggal sini ok?” tanya Pakcik Ramli kepada saya yang kebetulan sahaja baharu berpindah.

“Ok sahaja. Jiran pun ok. Nyonya sebelah rumah ramah juga. Suami dia sakit terlantar. Isteri saya ada melawat. Suami dia suka orang datang. Boleh berbual-bual, “ kata saya lagi.

Kemudian saya menyambung lagi, “ada dua ekor anjing pula di taman ni. Garang juga. Saya mula-mula ingat anjing tu nak gigit.”

Artikel Berkaitan:

Pak Cik Ramli ketawa. “Sepasang tu. Jaga taman ni. Orang-orang sini beri makan juga. Tapi elok juga anjing tu ada. Sebagai penjaga taman. Eloknya lagi, anjing tu tak bagi anjing lain masuk ke taman ni.”

“Oh begitu,” kata saya pula yang baru-baru ini nyaris juga diterkam oleh sepasang anjing tu. Kebetulan pula ada sebatang ranting kayu di tangan. Anjing itu rupanya mengacah-ngacah sahaja.

“Seekor berwarna putih dan seekor lagi berwarna coklat. Yang putih itu betina. Elok depa berpasangan. Tapi tak ada anak lagi,” kata Pakcik Ramli.

Kemudian kata beliau lagi, “taman ini pun ada bangsa Melayu dan Cina juga. Semua baik -baik sahaja. Duduk di kawasan kampung ini begitulah. Kena saling kenal mengenal untuk mengerat lagi perpaduan.

Saya mengangguk sahaja, sambil melihat kereta yang di parkir di dalam rumah. Saya tertanya-tanya juga kenapa Pakcik Ramli meletak kereta di dalam rumah. Maksud saya bukan dalam kawasan rumah. Tetapi rumah itu telah disambung dan menjadi ruang tamu yang digunakan untuk meletak kereta.

Saya berhasrat untuk bertanya juga, tetapi tidak tergamak pula. Melihatkan kereta Pak Cik Ramli yang berkilat itu, memang beliau menjaganya dengan rapi.

“Bak kata orang-orang bijaksana dahulu kala, kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah. Kau tahu tak maknanya?” tanya Pakcik Ramli.

“Er, tak tahu,” kata saya pula.

“Tak tahu?” Pakcik Ramli membelalakkan mata memandang saya. Tangannya dihentak ke meja. Entah kenapa tiba-tiba dia menjadi begitu bersemangat pula.

“Maksudnya, kekuatan sebuah kerajaan kerana orang besar-besarnya, kekuatan orang besar-besar kerana rakyatnya yang bersatu padu. Kita kena bersatu padu untuk kuatkan kerajaan. Semua kaum kena bersatu padu.

Untuk bersatu padu, kita hendaklah tidak lagi berbangsakan kaum. Kita hendaklah sentiasa membangsakan sebagai bangsa Malaysia. Semua kaum akan diberi hak sama rata. Baik dari segi pendidikan, ekonomi dan apa saja. Masing-masing berusaha demi negara.

Sekolah juga tidak perlu lagi mempunyai bangsa. Hanya satu bangsa sekolah sahaja sudah cukup. Satu aliran, satu bahasa dan satu bangsa. Barulah kita boleh menjadi bangsa saksama dan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu padu,” tegas Pakcik Ramli bersemangat sambil berdiri membaiki kain pelikatnya yang hampir menggelunsur ke bawah.

“Tidak perlu lagi sekolah vernakular!” Sudah sampai masanya!” tegas Pak Cik Ramli lagi hampir separuh menjerit membuatkan saya terkejut pula.

“Ada yang tidak bersetuju,” jawab saya.

“Janganlah pula asyik kita sahaja yang membawa jarum, tetapi mereka menyambut dengan gunting pula.Berpada-padalah.” kata Pakcik Ramli seraya memandang sinis.

Saya menggaru-garu kepala cuba memahami akan kaitan jarum, gunting dan sekolah vernakular pula.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com