Gesa pemaju teruskan pembinaan pasar terbengkalai

Lawrence (kanan) berbincang bersama Raymond (kiri) sewaktu meninjau lokasi pasar terbabit.
Lawrence (kanan) berbincang bersama Raymond (kiri) sewaktu meninjau lokasi pasar terbabit.
A
A
A

PUCHONG - Penduduk di Saujana Puchong menggesa agar pemaju kawasan berkenaan dapat meneruskan pembinaan sebuah pasar seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Difahamkan, pembinaan pasar tersebut terbengkalai sejak 17 tahun lalu tanpa sebarang sebab yang munasabah daripada pemaju.

Menurut seorang penduduk, Raymond Choo, 47, sewaktu berpindah ke Saujana Puchong pada tahun 2002 lalu, pemaju terlibat telah menjanjikan bahawa pembinaan pasar berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan di kawasan itu.

"Namun sehingga kini, hanya struktur binaan pasar itu yang dibina malah bangunan tersebut juga masih terbengkalai sehingga kini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Keadaan tapak berkenaan kini berada dalam keadaan tidak terurus.
Keadaan tapak berkenaan kini berada dalam keadaan tidak terurus.

Mengulas lanjut, Raymond berkata kawasan berkenaan yang seluas 423 ekar itu dilihat memerlukan sebuah pasar bagi kemudahan penduduk setempat di sini untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Selain pasar, kawasan berkenaan juga tidak mempunyai kemudahan seperti hospital, balai bomba, balai polis dan sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kami menggesa agar pemaju tidak lepas tangan dan meneruskan pembinaan pasar ini seperti yang dijanjikan berikutan strukturnya juga telah dibina," katanya.

Sementara itu, menurut seorang warga emas yang dikenali sebagai Lim, 60, berkata, penduduk di kawasan itu perlu mendapatkan barangan basah di pasar raya berhampiran yang terletak kira-kira 6.4KM di Bandar Baru Puchong.

Dengan ketiadaan bas di kawasan berkenaan, Lim berkata, penduduk berdepan kesukaran untuk keluar bagi mendapatkan bekalan barangan basah.

"Jika pembinaan pasar ini diteruskan, penduduk tidak lagi perlu menaiki bas dan hanya berjalan kaki untuk mendapatkan bekalan barangan basah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan MCA Selangor, Lawrence Chiew berkata, pemaju terlibat perlu memandang serius masalah tersebut dan mengambil peranan untuk meneruskan projek pembinaan terbabit.

Beliau berkata, bangunan yang terbengkalai itu dilihat sudah menjadi lokasi pembuangan sampah dan tidak berada dalam keadaan terurus.

"Kita tak mahu kawasan ini menjadi lokasi untuk aktiviti tidak sihat dan pemaju sewajarnya mengambil perhatian serius terhada perkara ini," katanya.

Tapak pasar ini juga turut menjadi lokasi pembuangan sampah oleh pihak tidak bertangungjawab.
Tapak pasar ini juga turut menjadi lokasi pembuangan sampah oleh pihak tidak bertangungjawab.

Tambah beliau, pembinaan pasar itu perlu diberi keutamaan berikutan buat masa ini penduduk perlu mendapatkan barangan basah di pasar pagi Kampung Baru Batu 14 atau pasar raya terdekat.

"Saya menggesa agar pihak terlibat dapat mengambil tindakan terhadap perkara ini yang menimbulkan persoalan kepada penduduk berikutan tiada sebarang sebab munasabah diberikan oleh pemaju susulan kegagalan projek tersebut," katanya.