Penuntut UiTM hidap kanser buah pinggang meninggal dunia

Laporan Sinar Harian pada 6 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian pada 6 Mei lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Melaka, yang menghidap penyakit kanser buah pinggang tahap empat, meninggal dunia jam 2.30 pagi tadi.

Allahyarham Fildati Amalina Amir Shariffuddin, 19, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sisi ibu, Fartini Sulidjan, 49, dan dua kakak, Nor Amira, 24, dan Siti Nabilah, 22.

Bapanya, Amir Shariffuddin, 50, berkata, anak keempat daripada lapan beradik itu sebelum ini mengadu sesak nafas di rumah dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Allahyarham kemudian dirujuk di HKL sejak tiga hari lalu dan keadaan kesihatannya bertambah teruk akibat kanser dialaminya.

"Kami reda dengan ketentuan Ilahi, apatah lagi Allahyarham dah lama menderita penyakit berkenaan," katanya.

Menurutnya, jenazah arwah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru jam 10.30 pagi tadi.

Nor Amira pula berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian Fildati Amalina yang mesra disapa Kak Lin dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan adiknya selain memberi sokongan moral serta bantuan wang ringgit.

"Sebelum Kak Lin hembuskan nafas terakhir, riak mukanya cukup tenang dan tak menunjukkan sebarang kesakitan walaupun terpaksa menjalani pelbagai rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Doktor dah melakukan yang terbaik, namun ALLAH SWT lebih menyayanginya. Sebagai kakak, saya sedih tetapi reda dengan pemergiannya," katanya.

Sinar Harian pada 6 Mei lalu melaporkan, Fildati Amalina terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas disahkan menghidap penyakit kanser buah pinggang tahap empat.

Penuntut semester dua jurusan Pengurusan Perniagaan itu terlantar sakit selepas mula dikesan menghidap kanser sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Oktober 2017.

[ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/26662/EDISI/Selangor-KL/Tangguh-pengajian-setelah-dikesan-hidap-kanser]