‘Abang Long Balang’, ‘Lan Taro’ diberkas polis

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Empat lelaki geng kongsi gelap 77 dan 30 termasuk ketuanya yang menggelar diri sebagai Abang Long Balang dan Lan Taro ditahan polis dalam satu serbuan di Banting Sabtu lalu selepas dipercayai terlibat dengan kes pemerasan ke atas pengusaha lori.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua empat suspek yang ditahan berusia 32 hingga 42 tahun.

Berdasarkan siasatan polis, Abang Long Balang merupakan bekas anggota polis yang telah dibuang kerja.

"Tangkapan suspek ini susulan daripada seorang lelaki yang mengusahakan perniagaan lori telah menerima ugutan dari Abang Long Balang untuk dicederakan dan dipaksa membayar wang perlindungan setiap bulan.

"Mangsa juga dipaksa oleh Lan Taro untuk membayar RM18,000 dan sekiranya tidak patuh, suspek bersama gengnya akan membakar dan memecahkan semua lori pengadu dan rakan kongsi pengadu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil berkata, berikutan ugutan itu mangsa kemudian membuat laporan polis pada 17 Mei lalu.

"Terdahulu, mangsa mendapat maklumat bahawa pekerjanya ditahan oleh sekumpulan lelaki di Banting. Mangsa telah ke lokasi berkenaan dan berjumpa dengan Abang Long Balang kemudian membawa kepada pertemuan bersama Lan Taro," katanya.

Fadzil menambah, selain empat suspek yang ditahan, beberapa suspek lain telah dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah mengarahkan mereka untuk hadir ke JSJ Ibu Pejabat polis Daeah Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

"Polis juga menasihatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa kumpulan kongsi gelap ini untuk tampil membuat laporan polis," katanya.