Suspek utama kes bunuh ketua jururawat didakwa

Tertuduh ketika dibawa masuk ke dalam Mahkamah Majistret Sepang, pagi tadi.
Tertuduh ketika dibawa masuk ke dalam Mahkamah Majistret Sepang, pagi tadi.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang dua minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di sini, sebentar tadi.

Tertuduh, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, yang berbaju kemeja denim mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin @Boy Acho.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes melibatkan pertuduhan membunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Kharina Mohd Kamaruddin, 40, di Tower 1, Third Avenue Condominium, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang 15 Mei 2019.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan memohon tarikh sebutan baharu untuk mendapatkan laporan kimia, bedah siasat, laporan kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan telefon bimbit.

Majistret kemudiannya menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: