Dua pelajar UniSZA dilantik ahli senat

Hassan Basri (tiga, kanan) dan Mohd Afandi (tiga kiri) bersama empat pemimpin pelajar dilantik sebagai ahli dan pemerhati Mesyuarat Senat Unisza di sini hari ini.
Hassan Basri (tiga, kanan) dan Mohd Afandi (tiga kiri) bersama empat pemimpin pelajar dilantik sebagai ahli dan pemerhati Mesyuarat Senat Unisza di sini hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini melakar sejarah apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia melantik dua pemimpin pelajarnya sebagai ahli senat.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, dua pelajar itu ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Harun Osman dan Timbalan Presiden 2, Ahmad Kamil Makhtar.

Menurutnya, dua lagi pemimpin pelajar iaitu Ketua Perhubungan Mahasiswa MPP, Ahmad Sufian Mohd. Dalizan dan Bendahari 2 MPP, Ain Syazana Zolkepli pula dilantik sebagai pemerhati.

“UniSZA berasa bertanggungjawab untuk menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan kita melihat usaha ini sebagai satu gerakan ke arah memperkasakan pelajar dalam pentadbiran universiti.

“Terima kasih kepada menteri atas cetusan idea ini dan kita mengambil langkah segera serta proaktif membincangkan semasak-masaknya untuk memilih pemimpin pelajar terbaik,” katanya kepada pemberita sebelum Mesyuarat Bulanan Senat yang pertama buat keempat-empat pelajar itu di Bangunan Pentadbiran UniSZA di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unisza, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh.

Ahli senat UniSZA ketika ini adalah seramai 46 orang yang terdiri daripada kalangan pegawai tertinggi universiti, dekan dan profesor kanan.

Menurut Hassan Basri, pelantikan empat pemimpin pelajar berkenaan sebagai ahli dan juga pemerhati Mesyuarat Senat merupakan penghormatan tinggi buat golongan penuntut di universiti itu.

Artikel Berkaitan:

“Tempoh lantikan mereka adalah selama dua tahun atau tamat pengajian dan insya-ALLAH untuk akan datang pihak UniSZA akan lantik lebih ramai lagi” katanya.