Tiga beranak hidup guna air perigi busuk, berkeladak

Sekeliling rumah Noraini akan dinaiki air setiap kali hujan.
Sekeliling rumah Noraini akan dinaiki air setiap kali hujan.
A
A
A

PONTIAN - Berbau busuk. Begitulah keadaan air perigi yang digunakan tiga beranak di Batu 25 Jalan Pekan Nanas, di sini.

Noraini Yusof, 29, bersama ibu, Samiah Mohd Noh, 53, dan adiknya, Yusri Yusof, 27, menggunakan sumber air berkenaan setiap hari bagi menjalankan urusan seharian.

Menurutnya, dia berdepan kesukaran membuat penyambungan bekalan air paip bersih berikutan rumahnya itu dibina di atas rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Saya juga tak cukup duit untuk menampung kos penyambungan bekalan air bersih sebab saya tak bekerja dan bergantung harap dengan pendapatan adik saya yang bekerja sebagai tukang kimpal.

"Rumah kayu yang saya duduk sekarang usianya dah lebih 36 tahun. Dan selama itulah kami gunakan air perigi,” katanya.

Noraini berkata, air perigi berkenaan digunakan untuk mandi dan membasuh baju.

“Perigi ini terletak di bawah rumah.

“Untuk minum, saya akan beli air tapis yang dijual di mesin-mesin dekat kedai sebab lebih bersih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerap banjir kilat.

Katanya, air perigi yang bercampur dengan air banjir menyebabkan ia berbau busuk dan berkeladak.

Ia berikutan kedudukan rumah yang rendah dan bersebelahan jalan utama Pontian-Johor Bahru berdekatan Taman Mas Merah yang kini sedang dalam kerja naik taraf mengundang berlakunya banjir kilat.

Keadaan bahagian dapur rumah yang didiami tiga beranak tersebut.
Keadaan bahagian dapur rumah yang didiami tiga beranak tersebut.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan di rumah Noraini mendapati sekeliling rumah Noraini dinaiki air ketika hujan dalam tempoh tidak sampai 10 minit.

Noraini memberitahu, keadaan bertambah teruk apabila sampah dan air longkang mengalir memasuki kawasan rumahnya ketika hujan menyebabkan air berbau busuk.

“Kalau hujan lebih sejam, air mesti naik sampai paras tangga depan rumah. Buat masa sekarang hujan sekejap-sekejap sahaja.

“Tiga tahun lepas, air pernah naik dalam rumah. Walaupun sekarang ini air cuma di sekeliling rumah saja, tetapi cemas takut-takut melimpah ke dalam rumah,” katanya.

Selain itu, lantai rumah yang dibina dari kayu itu sudah reput menyebabkan keadaannya cukup merbahaya.

“Ada lantai yang sudah berlubang kerana reput. Perlu berhati-hati hendak jalan,” katanya.

Menurut Noraini lagi, bekalan elektrik juga kerap terputus ketika hujan.

“Saya pernah kena renjatan elektrik ketika cuba menghidupkan kotak fius elektrik selepas bekalan elektrik terputus,” katanya.

Ibu hidap kanser limfoma tahap empat

Noraini memberitahu, dia berhenti kerja kilang demi menjaga ibunya yang menghidap kanser limfoma tahap 4 sejak dua tahun lalu.

Katanya, ibunya yang sudah enam kali menjalani rawatan kemoterapi turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Noraini yang turut menghidap penyakit kencing manis sentiasa berada di sisi ibunya menguruskan keperluan harian seperti makan dan minum.

“Mulanya ibu demam. Demam tidak kebah sampai paru-paru ibu berair. Lepas itu perasaan ada biji kelenjar di leher ibu.

Noraini (kiri) setia menjaga ibunya, Samiah yang menghidap kanser limfoma tahap empat.
Noraini (kiri) setia menjaga ibunya, Samiah yang menghidap kanser limfoma tahap empat.

“Kemudian doktor ambil sampel air tulang belakang ibu. Ibu disahkan hidap kanser limfoma, ” katanya. Tiada persiapan raya Menurut Noraini, selepas ayahnya meninggal dunia sembilan tahun lalu, akibat penyakit Hepatitis A, dia dan ibu bergantung dengan adiknya yang bekerja sebagai tukang kimpal.

“Ibu ada menerima bayaran Perkeso sebanyak RM475 sebulan. Itu pun masih tidak mencukupi. Ibu perlu minum susu khas dan dibawa ke hospital untuk jalani rawatan dan pemeriksaan.

“Setakat ini tiada lagi bantuan lain yang diterima meskipun permohonan bantuan sudah diajukan,” katanya.

Noraini berkata dia berharap dapat berpindah ke rumah lebih selesa.

“Nak pindah duit pun tidak cukup hendak bayar sewa. Rumah pula kerap dinaiki air banjir,” katanya.

Ditanya tentang persiapan raya, Noraini hanya terdiam dan menjawab segalanya dilakukan dalam keadaan sederhana kerana wang yang ada perlu digunakan untuk kos rawatan kanser ibunya.

Beban ditanggung keluarga berkenaan mendapat perhatian pelbagai pihak dan antaranya UMNO Bahagian Tanjung Piai.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim berkata, dinding rumah telah dibaiki pihak Parlimen Tanjung Piai dua tahun lalu. Katanya lagi, gotong-royong juga telah dibuat bagi kerja-kerja menukar tikar getah dan mengemas barang di dalam rumah.

“Sekadar apa yang mampu untuk dibantu, kita akan bantu. Namun kita harap keluarga ini akan dapat bantuan sewajarnya,” katanya.