Bertan-tan makanan elok dibuang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganggarkan kira-kira 4,600 tan makanan yang masih elok terbuang di seluruh Semenanjung Malaysia semasa bulan Ramadan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha berkata, jumlah berkenaan merupakan jangkaan peningkatan sisa makanan yang dibuang kira-kira 15 hingga 20 peratus pada bulan Ramadan berbanding bulan biasa sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, data berkenaan diperoleh dari banyak tempat antaranya bazar Ramadan, kediaman dan lain-lain lagi.

“Bagaimanapun, data berkaitan sisa makanan atau makanan yang masih elok dari hotel masih lagi dalam kajian.

"Pun begitu, statistik anggaran 4,600 makanan yang masih elok terbuang ini perlu dipandang serius dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengelakkan pembaziran.

“Pada bulan biasa, jumlah terkini sisa makanan dibuang yang masih elok berjumlah 4,000 tan sehari. Sisa makanan yang dijanakan sebanyak 16,500 tan setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Pauze menasihatkan agar semua pihak merancang pembelian makanan dengan lebih baik bagi mengelakkan makanan terbuang begitu sahaja.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, pembaziran makanan berkait rapat dengan pembaziran penggunaan sumber ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari hal ini. Kuantiti pembaziran makanan di Malaysia besar dan meningkat.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

“Secara puratanya (rekod anggaran sebelum ini pembaziran sekitar 15,000 tan sehari), seorang rakyat Malaysia membuang sisa makanan sebanyak 1.64 kilogram (kg) sehari iaitu lebih tinggi berbanding purata dunia sebanyak 1.2 kg sehari,” katanya.

Menurutnya, daripada perspektif ekonomi, pembaziran makanan bermakna pembaziran ke atas penggunaan sumber ekonomi seperti air dan bahan api serta menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida.

“Sejumlah air dan bahan api diperlukan untuk mengeluarkan makanan mentah seperti sayur, beras dan makanan dimasak.

“Apabila sebahagian daripada makanan ini dibazirkan, ini bermakna kita juga membazirkan sejumlah air dan bahan api yang sepatutnya boleh dijimatkan,” kata beliau.

Mohd Yusof berkata, penggunaan bahan api untuk pengeluaran makanan melepaskan sejumlah karbon ke dalam atmosfera.

Jelas beliau, sebagai pengguna yang rasional, mereka perlu mengetahui berapa banyak kuantiti air, bahan api dan pelepasan karbon dioksida untuk mengeluarkan makanan.

“Setiap satu kg daging memerlukan 15,500 liter air, setiap satu kg gula perlukan 1,500 liter air. Itu penggunaan air, untuk penggunaan petrol pula setiap 0.17 kg daging menggunakan 0.159 gelen petrol dan setiap 0.22 kg beras menggunakan 0.0098 gelen petrol," katanya.

Katanya, bagi pelepasan karbon dioksida pula, bagi setiap satu kg daging sebanyak 27 kg karbon dioksida dilepaskan dan bagi setiap satu kg ayam sebanyak 6.9 kg karbon dioksida dilepaskan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Harga bufet tak masuk akal

Tetapkan harga siling bufet Ramadan