Gadis galas tugas ketua keluarga

Athira (tiga dari kiri) bersama ibunya Normizana (tiga dari kanan) dan adik-adiknya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Rasa Utama, Kuala Kubu Bharu.
A
A

KUALA KUBU BHARU - Selepas bapa meninggal dunia pada 1 April lalu tugas sebagai ketua keluarga digalas anak sulung bagi menyara ibu dan empat adik termasuk tiga orang kurang upaya (OKU).

Tanggungjawab di bahu Athira Ashari, 22, itu bermula sejak berusia 18 tahun malah sanggup berkorban untuk melupakan persekolahan di tingkatan enam kerana bapanya terpaksa cuti tanpa gaji selama setahun atas faktor peribadi.

Athira berkata, arwah bapa, Ashari Ahmad, 48, bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang pengeluar alat ganti kenderaan dan meninggal dunia selepas diserang strok akibat darah tinggi.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti ketika semester pertama tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu dan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut di Batang Kali.

"Ayah cuti tanpa gaji maka saya kena cari duit untuk sara keluarga dan bila ayah kembali bekerja, saya masuk kolej di Kajang selama dua tahun setengah dalam bidang kulinari.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ampang Pecah, Suellen Muhamad Sharif (tiga dari kiri) menyantuni Athira sekeluarga semalam.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ampang Pecah, Suellen Muhamad Sharif (tiga dari kiri) menyantuni Athira sekeluarga semalam.

"Selepas habis kolej, macam-macam kerja saya buat tapi masa itu keluarga masih bergantung pada pendapatan ayah. Kali terakhir sebelum ayah meninggal, saya kerja di kilang pembekal santan di Gombak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasa Utama di semalam.

Athira berkata, majikan arwah bapanya turut membantu ketika pengurusan jenazah dan dia ditawarkan untuk bekerja sebagai kerani akaun di kilang berkenaan dengan gaji RM1,200 sebulan.

"Tempat kerja baru ini tak jauh dari rumah, dalam 10 minit sahaja menunggang motosikal kerana saya belum ada lesen memandu untuk bawa kereta arwah ayah," katanya.

Menurutnya, keperluan ibu, Normizana Abdul Malik, 44, dan lima adik menjadi keutamaan berbanding dirinya sendiri namun tetap bimbang terhadap masa depan keluarga terutama berkaitan kewangan.

"Tak apalah jika tak dapat belanja apa-apa untuk diri sendiri kerana yang lebih penting sekarang adalah ibu dan persekolahan adik-adik tidak terjejas.

Allahyarham Ashari meninggal dunia pada 1 April lalu.
Allahyarham Ashari meninggal dunia pada 1 April lalu.

"Tapi baru sebulan lebih ayah meninggal dunia, saya takut fikir masa akan datang seandainya duit tidak cukup atau apa-apa terjadi pada saya," katanya.

Athira berkata, pelbagai kenangan mengusik jiwa apabila Ramadan dan Aidilfitri tahun ini diraikan tanpa bapa tersayang.

Sementara itu, Normizana yang tidak bekerja dan perlu memberi tumpuan penuh terutama kepada tiga anak OKU kategori masalah pembelajaran dan hiperaktif.

Anak ketiga, Afiq Haikal, 16, belajar di SMK Ampang Pecah manakala anak kedua, Anas Nazhan, 17, mengikuti pendidikan khas di sekolah sama.

Anak keempat, Akmar Sufyana, 11, di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Pecah dan kelima, Adam Faiz, 10, di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kuala Kubu Bharu.

Normizana berkata, tiga anak istimewa itu ke sekolah menaiki van dengan kos RM360 sebulan manakala anak kedua menggunakan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor.

Anas Nazhan (depan tiga dari kanan) mengikuti PPKI di SMK Ampang Pecah.
Anas Nazhan (depan tiga dari kanan) mengikuti PPKI di SMK Ampang Pecah.

"Tiga anak ini menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pakaian baju raya mereka sudah pun dibeli menggunakan baucar sebuah pusat beli belah yang diterima melalui pihak sekolah.

"Selebihnya guna duit simpanan anak sulung dan jika tahun sebelum ini kami beraya di kampung di Sabak Bernam tapi kali ini, raya di sini sahaja.

"Saya dan arwah suami berasal dari Sabak Bernam serta menetap di Rasa sejak 1990-an dan tinggal di rumah dibeli arwah ketika dia bujang lagi," katanya.

Menurutnya, dia juga menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan meletakkan sepenuh harapan kepada anak sulung bagi menyara keluarga.

Dalam pada itu, semakan melalui LZS mendapati keluarga berkenaan ialah penerima bantuan asnaf sebanyak RM650 sebulan selain bantuan pendidikan dan hari raya sejak 2015.

Nasib enam beranak itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.