Ekonomi menang sorak

A
A

TINDAKAN Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) mempromosikan Kempen ‘Setahun Malaysia Baharu’ adalah sangat naif dan menyeleweng daripada fungsi sebenar stesen tersebut sebagai saluran maklumat kerajaan.

Kempenlah ‘Setahun Pakatan Harapan Mentadbir’ bukannya ‘Setahun Malaysia Baharu’ seolah-olah semua yang ada sekarang adalah hasil pentadbiran Pakatan Harapan (PH).PH mewarisi infrastruktur perniagaan, pengangkutan, pendidikan, keselamatan dan sosial negara yang hampir setaraf dengan negara maju dunia. Indikator ekonomi pada April 2018 juga menunjukkan ekonomi negara berkembang dengan baik.

Malangnya selepas menang PH mahu membuktikan teori mereka bahawa negara ini berada di ambang kemusnahan ekonomi adalah benar.

Sejak awal mengambil alih Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng telah bermula dengan langkah salah. Beliau mengetepikan piawaian antarabangsa mengenai hutang negara dan mewujudkan piawaian sendiri. Tindakan ini hanya untuk membuktikan dakwaan PH bahawa hutang negara pada April 2018 adalah RM1 trilion, bukannya RM688 bilion seperti dalam data asal kerajaan.

Susut

Bagi memburukkan pentadbiran lalu, Guan Eng juga telah menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). GST yang digunakan oleh sebahagian besar ekonomi dunia digantikan sistem lapuk SST.

Kerajaan juga menangguh, mengubah dan berdolak dalih dalam projek besar seperti projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Sistem Transit Pantas (RTS) Johor Bharu-Singapura.

Keadaan negara hampir tidak menentu sepanjang setahun pentadbiran negara. Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan tokoh penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin bercakap dengan nada berbeza antara satu sama lain.

Akibatnya, kerajaan berhadapan trust deficit disorder dalam kalangan pelabur dan usahawan. Kerajaan dilihat membuat keputusan janggal bukan berdasarkan kepentingan ekonomi negara tetapi sekadar agenda memburukkan pentadbiran lalu.

Dianggarkan sejumlah RM55 bilion pelaburan asing keluar dari negara ini sejak setahun lalu. Ringgit telah susut dengan teruk sejak setahun lalu walaupun harga minyak dunia meningkat.

Pada April 2018, Ringgit Malaysia (RM) berada sekitar RM3.87 per 1 dolar Amerika Syarikat ($AS). Setahun selepasnya RM berada pada paras RM4.20 per AS$1. Rizab Antarabangsa Bank Negara susut daripada AS$109.5 bilion pada 30 April 2018 kepada AS$103.4 bilion pada 30 April 2019. Ini bukan penyusutan sementara kerana sepanjang tempoh setahun ini rizab tersebut tidak pernah kembali kepada kedudukan seperti 30 April 2018.

Keadaan huru-hara pengurusan ekonomi negara ini tampaknya tidak berubah. Minggu lalu Kementerian Kewangan, menerusi Tony Pua, tanpa segan silu mendakwa ekonomi negara pada tahap terbaik.

Beliau menyifatkan aliran keluar pelaburan asing yang besar sepanjang setahun ini ditampung Pelaburan Asing Langsung (FDI) yang juga besar pada suku 2019.

Menurutnya, pelaburan asing sebanyak RM21.7 bilion pada suku pertama 2019 ini adalah peningkatan sebanyak 94.8 peratus berbanding RM11.2 bilion yang telah dicatatkan pada suku pertama tahun lepas.

Rupa-rupanya kerajaan telah mengubah indikator FDI dengan memasukkan pembelian saham syarikat kerajaan oleh entiti luar.

Dana RM8.4 bilion FDI dari Jepun merupakan penjualan saham IHH Berhad kepada syarikat Mistui dari Jepun.

'Pelaburan’ asing RM3.7 bilion daripada Austria merupakan hasil penjualan 50 peratus kepentingan dalam syarikat Sapura Upstream Sdn Bhd (40 peratus oleh PNB) kepada syarikat OMV dari Austria.

Walaupun langkah memasukkan penjualan ini sebagai FDI tidak salah sepenuhnya, namun ia menyimpang daripada tujuan sebenar pengukuran FDI.

FDI merupakan indikator bagi mengukur kebolehan dan peluang ekonomi berkembang. Penjualan aset bukanlah pertumbuhan ekonomi kerana ia tidak membabitkan penjanaan perniagaan baharu atau perkembangan ekonomi sedia ada.

Peningkatan FDI tanpa pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu adalah satu lagi perubahan kosmetik dan artifisial dalam ekonomi negara hari ini. Jika Kementerian Kewangan berterusan mengubah indikator ekonomi sesuka hati, tidak lama lagi negara kita mungkin dilihat sebagai ‘pariah’ dalam ekonomi dunia.

Memanglah tindakan Menteri Kewangan ini menggembirakan sebahagian rakyat yang hanya berminat mengenai politik permusuhan antara parti. Namun dalam jangka masa panjang, kerajaan hanya akan menang sorak tapi kampung tergadai.