Patuhi pandangan menteri, elak guru tertekan

Jasni Md Kechik dan aduan guru yang mendapat perhatian Maszlee.
A
A

JERANTUT - Aduan seorang guru yang dimuat naik di laman sosial berkaitan pentadbirnya mengarahkan guru sekolah tersebut mengadakan kelas tambahan semasa cuti pertengahan tahun mendapat pelbagai reaksi netizen.

Aduan tersebut disuarakan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melalui Facebook dan ia mendapat reaksi daripada menteri tersebut.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata isu seperti itu menjadi perhatian umum terutama kalangan pendidik yang mempunyai pandangan berbeza.

"Satu klip video yang menyatakan menteri pendidikan mahu semua guru menyambut hari raya tanpa sebarang gangguan seperti kelas tambahan turut disebarkan.

"Oleh itu pandangan menteri sewajarnya dipatuhi bagi semua pihak tidak tertekan terutama guru yang tinggal berjauhan dengan orang tersayang.

"Ia menjadi lebih hangat kerana kelas tambahan yang diarahkan diadakan menjelang sambutan hari raya," katanya lagi.

Menurutnya, guru berkenaan atau semua guru di sekolah berkenaan wajar berbincang secara kekeluargaan untuk mendapat keputusan menang-menang dan memberi keseronokan dalam bekerja.

"Guru yang mempunyai isu di sekolah boleh mengajukan masalah kepada kesatuan guru masing-masing agar boleh diteliti sebelum dibawa ke pihak menteri," katanya.