Profil penduduk luar bandar untuk Program Desa Harapan dikenal pasti

Datuk Seri Rina Harun - Foto Bernama
Datuk Seri Rina Harun - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengenal pasti profil penduduk di kawasan luar bandar terutama golongan wanita dan belia yang boleh dilibatkan dalam Program Desa Harapan bertujuan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata beberapa lagi kriteria penting dalam pelaksanaan program itu juga dikenal pasti iaitu pekerjaan penduduk, peratusan penduduk yang menganggur serta bilangan usahawan di sesebuah kawasan luar bandar tersebut bagi menentukan program keusahawanan yang sesuai dijalankan.

"Program pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar ini tidak sama kerana setiap kawasan mempunyai keistimewaan dan keunikan yang berbeza. Maka, kita akan sesuaikan mengikut profil penduduk dan persekitaran kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Remaja Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel di sini, hari ini.

Rina berkata program sedemikian tidak dilaksanakan secara one-off sebaliknya secara berterusan di kawasan luar bandar yang telah dikenal pasti untuk diberikan tumpuan dalam pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi itu.

Katanya program itu turut melibatkan pelbagai pihak seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta syarikat korporat yang menawarkan bimbingan, kemahiran dan tunjuk ajar melalui program yang bersesuaian. "Apabila bercakap tentang kemiskinan, kita perlu bantu dari segi ekonomi, oleh itu beberapa program telah dilaksanakan di peringkat kementerian untuk meningkatkan pendapatan penduduk terutama dalam kalangan wanita serta belia dengan penglibatan pelbagai pihak.

" Melalui maklumat yang ada, barulah kita gabungkan mereka dengan syarikat korporat yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan seterusnya dapat menjana pendapatan penduduk," katanya.

Program Desa Harapan adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan kementerian itu tahun lalu bagi pembangunan jangka pendek ke arah luar bandar lebih sejahtera.

Rina berkata pelancaran Program Desa Harapan yang pertama telah dilancarkan di Perak dan seterusnya di Kedah tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Program pembangunan sosioekonomi ini adalah proses berterusan, di mana kita akan jalankan program pembangunan sosioekonomi di setiap negeri. Antara program pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan adalah pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan, pendidikan dan sebagainya bagi membolehkan penduduk di kawasan tersebut keluar daripada senarai daerah miskin," katanya.

Terdahulu, dilaporkan kementerian mengenalpasti 28 daerah miskin melibatkan negeri Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang perlu diberi tumpuan bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi. -Bernama