Kor Ming dicabar laksana cadangan debat Najib, Kit Siang di Parlimen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dicabar untuk melaksanakan debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Parlimen.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun beliau menyokong penuh cadangan itu namun turut mengingatkan kepada Kor Ming bahawa terdapat Aturan Mesyuarat yang mesti dipatuhi.

"Mana-mana Ahli Parlimen perlu membawa satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat tertentu untuk menangguhkan Persidangan Dewan supaya peluang dapat diberikan kepada Najib dan Kit Siang untuk berdebat.

"Saya sendiri bersetuju untuk membawa usul tersebut sekiranya tiada Ahli Parlimen yang sanggup," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kor Ming yang mencadangkan Najib untuk menjadikan Parlimen sebagai medan perdebatan bersama Kit Siang supaya memberi manfaat kepada rakyat dan negara semalam.

Jelas Noh, pada kebiasaannya, sekiranya terdapat sebarang usul, di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) masa yang diberikan sekurang-kurangnya satu jam maka masa untuk perdebatan itu juga perlu dibuat dalam tempoh yang sama.

"Untuk mengelakkan fakta-fakta gagal disampaikan dengan berkesan, Speaker tidak boleh membenarkan sebarang pencelahan daripada mana-mana Ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan ataupun pembangkang," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kor Ming cadang Najib guna Parlimen jadi medan debat

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Noh berkata, Kor Ming tidak layak untuk mempengerusikan dewan ketika debat itu berlangsung bagi mengelak sebarang ketidakadilan berikutan Ahli Parlimen Taiping itu juga adalah Timbalan Setiausaha Agung DAP.

"Perkara ini pernah berlaku, ketika saya berhujah dengan fakta sahih berkenaan kelemahan kerajaan PH di dalam Dewan apabila mikrofon saya dipadamkan secara tiba-tiba oleh beliau.

"Saya mencadangkan agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sendiri mempengerusikan sesi ini," katanya.

Tegas Noh, jika Kor Ming gagal untuk melaksanakan cadangan yang diberikan oleh beliau sendiri maka, beliau tidak layak untuk menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan harus meletakkan jawatan.

"Ini kerana kita tidak mahu lagi melihat ada di kalangan pemimpin Pakatan Harapan cakap tidak serupa bikin.

"Apabila tarikh dan masa telah ditetapkan oleh Parlimen, saya harap beliau dapat memastikan Kit Siang dapat hadir dan tidak ponteng Parlimen. Sebagai Timbalan Setiausaha Agung DAP saya percaya beliau mempunyai akses terus kepada Kit Siang," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, Parlimen bukanlah alat permainan untuk menyelamatkan karier politik mana-mana individu.