Bersatu Johor mesti perkukuh, pastikan perjalanan parti lancar

Mohd Solihan ketika menjawab soalan media di sini hari ini.
Mohd Solihan ketika menjawab soalan media di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bersatu Johor di semua peringkat mesti memperkukuh dan memastikan perjalanan parti tersebut terus bergerak dengan lancar.

Setiausahanya, Mohd Solihan Badri berkata, perkara itu harus dilakukan demi parti tanpa mengira barisan kepimpinan negeri yang baharu atau lama.

“Apapun ‘line-up’ sama ada lama atau baru, kita mestilah memperkukuhkan parti. Kita akan menghadapi pilihan raya. Jadi setiap masa itu adalah persediaan bagi kita.

“Sama ada dalam kerajaan atau parti, kita perlu memastikan perjalanan parti bukan di peringkat negeri sahaja, bahagian dan cawangan mengikut peraturan dan berjalan dengan licin,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Ops Bersepadu Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Aidilfitri di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika ditanya mengenai harapannya terhadap Bersatu Johor secara keseluruhan di bawah kepimpinan pengerusi baharu, Mazlan Bujang.

Semalam, Mazlan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau memulakan tugas sebagai Pengerusi Bersatu Johor dan mengumumkan pelantikan beberapa jawatan penting parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri Besar Johor ucap tahniah kepada Mazlan

Ditanya mengenai kenyataan Mazlan bahawa dirinya memaklumkan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal menolak tawaran dilantik semula jawatan Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan berkata, beliau ada berbincang dengan Sahruddin mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Ya saya ada berbincang dengan beliau. Melalui WhatsApp ada, dan sebelum ini pun ada. Dan saya berpandangan beliau mungkin tidak sesuai sebagai setiausaha.

“(Malah) Ada sesetengah pandangan yang mengatakan beliau tidak sesuai sekiranya dilantik sebagai setiausaha. Saya cuma menyampaikan kepada YAB MB mengenai cadangan itu. Tapi YAB sendiri pun merasakan jawatan itu mungkin tidak begitu sesuai untuknya,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai Setiausaha Bersatu Johor yang baharu disamping jawatannya sebagai Exco Kerajaan Johor, katanya, perkara itu tidak mempunyai sebarang masalah.

“Saya berhasrat menjadi orang tengah dan bekerja sebagai setiausaha secara profesional. Hubungan saya dengan MB sangat baik. Kami datang dari satu kampung yang berjiran dan kawan lama,” katanya.

Perkembangan tersebut menyaksikan kepimpinan Bersatu Johor dipimpin oleh Mazlan sementara pentadbiran kerajaan negeri diterajui Sahruddin selaku Menteri Besar Johor.