Iftar Askar Wataniah: 75 penuntut tamat kursus di bulan puasa

Tengku Kamarulzaman (tiga kiri) turut menjalani ibadah terawih bersama peserta kursus.
Tengku Kamarulzaman (tiga kiri) turut menjalani ibadah terawih bersama peserta kursus.
A
A
A

KUANTAN - Kejayaan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 1/2019, Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah yang julung kali dibuat di bulan puasa, membuktikan ketinggian semangat dan tahap fizikal anak muda negeri ini.

Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar berkata, ia juga menjadi penanda aras, bahawa Ramadan dan berpuasa bukan halangan untuk berjaya.

Bahkan 75 pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) dan 15 penuntut Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), telah menunjukkan prestasi diri yang cemerlang dan berdisiplin tinggi.

"Saya amat memuji keketalan jiwa peserta kursus pada kali ini bahkan berbangga dengan mereka. Anak muda kita, jika dididik dan dibimbing dengan baik, generasi ini mampu memberikan yang terbaik untuk masa depan gemilang.

"Satu satunya kumpulan yang hadir kursus APMS yg pertama dalam batalion pertama jalani bulan puasa. Alhamdulillah secara keseluruhan semua sihat dan dapat menamatkan kursus dengan jayanya," katanya.

Sesi kawad menandakan berakhirnya kursus APMS selama sebulan termasuk pada Ramadan.
Sesi kawad menandakan berakhirnya kursus APMS selama sebulan termasuk pada Ramadan.

Sementara itu, Pengarah Polisas, Dr Ab Latif Ahmad berkata, golongan belia dan penuntut institusi pengajian tinggi disaran menceburi Askar Wataniah dalam usaha membentuk disiplin dan menghindari budaya negatif.

Menurutnya, dalam usaha ke arah tersebut pihaknya menerusi, pensyarah Polisas akan bertindak menjadi medium. penyampaian maklumat kepada para penuntut mengenai kelebihan menyertai askar wataniah.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilihat dari segi jumlah penuntut iaitu 6,000 lebih orang manakala yang menyertai askar wataniah amat sedikit dan itu bukan di tahap memuaskan. Kita akan lebih berusaha menggalakkan lagi penuntut menyertainya.

"Melalui kursus dan elemen ketenteraan yang dididik dalam jiwa anak muda, saya percaya disiplin yang mereka peroleh sepanjang kursus akan membantu mereka dalam pelajaran," katanya sempena majlis penutupan Kursus APMS di Polisas di sini semalam.

Peserta menjalani kursus selama sebulan bermula 27 April lalu sehingga 26 Mei 2019 membabitkan Latihan Menembak di Lapang Sasar 7RRD Mentakab dan Latihan Medan di Hutan Simpan Bukit Galing.

Sementara itu, satu majlis iftar meraikan semua peserta kursus telah diadakan malam semalam di masjid Polisas di sini.

Bergambar kenangan usah terawih.
Bergambar kenangan usah terawih.

Pada majlis itu, Tengku Kamarulzaman turut menyampaikan ucapan takziah terhadap keluarga salah seorang penuntut kursus yang meninggal dunia 5 Mei lalu, Allahyarham Putera Aiman Hakimi Abdul Rahman.

Beliau sempat hadiri seminggu kursus dan Lembaga Siasatan Kematian yang bersidang pada 17 Mei lalu akan bertindak sewajarnya bagi membantu keluarga mempermudahkan urusan keluarga arwah, khasnya mengenai insurans dan khairat kematian.

Sementara itu, satu satunya peserta kursus berbangsa Cina, Guan Zilin, 19, yang merupakan penuntut Diploma Geometrik Semester 2 Polisas berkata, dia berbangga tamat kursus dengan jayanya.

Menurutnya, rakan rakan dan tenaga pengajar melayani beliau dengan baik dan memberikan tunjuk ajar meskipun berbeza latar dan budaya.

"Saya menyertai Askar Wataniah sebagai menzahirkan kesanggupan untuk berkorban demi negara.

“Saya juga mahu membanggakan keluarga, melatih disiplin dan kekalkan fizikal yang baik. Ibu bapa pun sokong saya sertai Askar Wataniah walaupun saya anak tunggal,” katanya.

Penerima Anugerah Kawad Terbaik, Prebet Siti Nurdiana Hartomo, 19, pelajar semester 2, Diploma Kejuruteraan Awam berkata, akan terus membabitkan diri dalam kursus ketenteraan di masa depan.

"Saya tak sangka terima anugerah ni sebab ingatkan kawan yang dapat. Alhamdulillah mungkin kerana disiplin dan cara saya mengendalikan kawad yang baik, melayakkan saya untuk terima anugerah. Sekali gus buat saya tidak lagi rasa kurang yakin dengan kebolehan diri," katanya.