Yusri lega TRW kutip mata

Yusri akui lega Kelantan kutip mata penting ketika pasukan kendaliannya sedang berjuang untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Premier, ketika ini.
Yusri akui lega Kelantan kutip mata penting ketika pasukan kendaliannya sedang berjuang untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Premier, ketika ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Kejayaan meraih satu mata setelah mengikat Terengganu FC (TFC) II 2-2 pada aksi di Kuala Terengganu, malam tadi nyata melegakan Kelantan yang kini bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Premier musim ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mengakui keputusan seri itu menyalakan kembali harapan buat pasukannya untuk sedaya-upaya mengelak daripada terjerumus ke kancah Liga M3, musim depan.

“Walaupun tidak semua orang memberi keyakinan tetapi saya amat yakin dengan kemampuan pasukan ini. Sebagai jurulatih, sudah tentu saya inginkan sesuatu yang positif daripada pemain kerana mereka sebenarnya mampu beraksi dengan baik.

“Walaupun seri namun saya bersyukur kita mendapat mata. Ia menjadi tonik terbaik kerana Kelantan akan bermain tiga perlawanan di tempat sendiri selepas Aidilfitri nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

The Red Warriors dua kali berada di depan menerusi Nik Azli Nik Alias seawal minit ketiga dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-22) namun dua gol Ahmad Takiyuddin Roslan pada minit kesembilan dan 68 mengikat keputusan seri, pada pertemuan itu.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, bagaimanapun Kelantan masih kekal di tangga terperosot liga dengan mengumpul sembilan mata dan hanya dibezakan satu mata dengan pasukan tempat ke-10 iaitu Sarawak.

Pengendali kelahiran Perlis itu memberitahu, pujian harus diberikan kepada anak didiknya apabila beraksi mengikut arahan sekali pun mereka sedikit goyah sehingga membenarkan tuan rumah menyamakan kedudukan.

“Dalam kesukaran kita menempuh pelbagai permasalahan, pemain tetap tidak putus mencuba sehingga dua kali kita mendahului lawan. Tahniah juga kepada TFC II kerana bermain cukup baik cuma dibezakan jaringan sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Sekali lagi set piece menjadi penghalang untuk kita mendapat mata penuh. Apapun, saya gembira dengan persembahan mereka di sebalik keterbatasan pemain yang ada, tapi masih boleh memberi komitmen tinggi untuk mendapat mata di tempat lawan,” katanya.