X

Kindly register in order to view this article
!

Elakkan jadi Si Tanggang moden

A
A

BARU-baru ini kita menyambut Hari Ibu. Rata-rata ibu dihargai pada hari tersebut walaupun sepatutnya setiap hari ibu dihargai.

Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan seorang ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia.

Seorang ibu yang mendidik anaknya akan menghasilkan anak yang gah di mata dunia sehingga boleh mencorakkan dunia.

Peranan itu adalah amat imperatif dalam membentuk keamanan dan juga keharmonian dunia.

Walaupun ibu mempunyai peranan yang besar namun peranan ibu ini sering dipinggirkan.

Bukan sahaja peranan ibu dilupakan malah ibu itu sendiri adakalanya juga langsung tidak dihiraukan oleh anak-anaknya sendiri.

Segala jasa dan pengorbanan ibu begitu mudah dinafikan sehinggakan ada ibu yang berendam air mata mengenangkan anak-anaknya di perantauan.

Benarlah kata orang tua, seorang ibu boleh melahirkan dan membesarkan 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang ibu.

Ironi ini memang jelas kerana anak-anak atas kesibukan kerja tidak mampu menjaga si ibu tua lagi.

Pelbagai alasan diberikan bagi mengelak daripada tanggungjawab ini. Walau setinggi mana pun jawatan si anak itu, beliau masih tetap anak si ibu.

Lazimnya apa yang berlaku ialah kesibukan bekerja menggoyah institusi keluarga serta ikatan kasih sayang antara ibu dan anak-anaknya.

Mempertahankan institusi keluarga ini amat penting kerana ia mempunyai impak yang besar kepada pembangunan negara itu sendiri.

Untuk itu Islam telah menggariskan tanggungjawab anak dengan begitu menyeluruh.

Sejak dari awal lagi anak ditegah daripada mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua ibu bapanya.

Penggunaan kata-kata yang mulia juga dituntut dari mulut si anak kepada kedua orang tuanya.

Menengking mengherdik apatah lagi mendera kedua orang tua adalah berdosa besar di sisi ALLAH.

Dalam al-Quran ayat 23-24 Surah al-Isra' yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali telah tua maka janganlah kamu berkata kepada mereka oh dan janganlah kamu menengking mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.

Dan hendaklah kamu merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang dan doakanlah ‘Wahai Tuhanku cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Ibu dan bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak terutamanya apabila ibu atau bapa tersebut tidak berupaya lagi menyara hidup mereka sendiri.

Sebenarnya waktu inilah peluang diberikan oleh ALLAH kepada anak-anak bagi membalas jasa kedua orang tua dengan memberikan khidmat melayan dan membantu kedua orang tua di saat getir ini.

Jasa

Budaya sesetengah golongan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua pula bukanlah norma dalam masyarakat Melayu Islam. Ia begitu asing dan tidak sepatutnya diserapkan dalam budaya kita.

Biar apapun alasan yang diberikan tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak mereka.

Tiada apapun yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak mereka sehingga anak-anak mereka berjaya di dunia.

Tidak ada ibu bapa yang mendabik dada mendakwa merekalah ibu bapa terbaik dalam mendidik anak-anak mereka. Ini adalah disebabkan sikap tawaduk ibu bapa tersebut yang hanya mahukan kejayaan anak-anak mereka sahaja walaupun nama mereka tidak dikaitkan dengan kejayaan anak-anak mereka.

Tetapi hakikatnya merekalah teras di sebalik setiap kejayaan anak-anak mereka itu.

Ingatlah wahai anak-anak sementara ibu bapamu masih lagi ada, berilah khidmatmu yang terbaik kepadanya agar suatu hari kelak kamu tidak menyesal. Tiada ibu bapa yang tidak memaafkan anak-anak mereka.

Kisah legenda Si Tanggang yang disumpah menjadi batu kerana kederhakaannya terhadap ibu sudah cukup menjadi sempadan buat kita semua.

Namun sebenarnya masih lagi terdapat ramai Si Tanggang moden yang muncul sekarang ini. Hanya kerana mengejar kekayaan dan harta di bandar, ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dijenguk.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf