Puasa mualaf vs geng plastik hitam

A
A
A

RAMADAN berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi sebelum melabuhkan tirainya. Lagu-lagu raya sudah berkumandang di corong-corong radio serta kompleks membeli-belah.

Iklan-iklan raya juga sudah mula muncul di kaca televisyen. Ramai yang tertunggu-tunggu untuk menyambut hari lebaran. Ada juga yang sedih kerana Ramadan hampir berakhir dan tidak tahu sama ada akan bertemu Ramadan tahun hadapan.

Begitulah kebiasaannya saban tahun. Dalam melalui kelaziman ini, terfikirkah kita bagaimana keadaan mereka yang baru sahaja memeluk Islam? Apakah hukum puasa pada bulan Ramadan bagi para mualaf yang baru sahaja mengucap dua kalimah syahadah?

Menjalani ibadah puasa bagi mereka yang baru memeluk Islam tidak semudah orang Islam asal yang telah biasa berpuasa pada bulan Ramadan setiap tahun. Majoriti umat Islam mula dilatih berpuasa seawal usia lima atau enam tahun, malah ada yang lebih awal, sama ada atas kehendak ibu bapa atau kanak-kanak itu sendiri. Ia mungkin bermula dengan puasa setengah hari dan dilanjutkan sehingga waktu Maghrib secara beransur-ansur.

Begitulah juga sewajarnya bagi mereka yang baru mendapat hidayah. Mungkin sukar bagi mereka untuk berpuasa kerana tidak biasa dengan amalan berlapar dan dahaga. Mereka boleh bermula dengan berpuasa setengah hari sahaja.

Islam adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam semesta). ALLAH SWT sebagai pencipta syariat tidak menghendaki kesulitan sebaliknya menghendaki kemudahan bagi hamba-Nya. Dalam firman-Nya yang bermaksud,

“ALLAH menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Saudara baharu

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, saya berkesempatan berbuka puasa dengan dua insan istimewa di majlis Iftar Ramadan Macma Kelantan bertempat di Pejabat Macma Kelantan di Kota Bharu. Insan pertama ialah saudari Nur Amalina Ong, 42 tahun, yang memeluk Islam tiga bulan yang lepas. Walaupun baru pertama kali berpuasa tahun ini, beliau tidak menghadapi masalah untuk berpuasa sepanjang hari.

Begitu juga bagi Nur Hidayah Bee Teo, 74 tahun, yang memeluk Islam pada 5 Disember 2018. Walaupun sudah lanjut usianya, beliau mampu berpuasa penuh dan turut menunaikan solat tarawih setiap malam sejak awal Ramadan.

Saya juga kagum kerana beliau turut berjaya menghafal surah al-Fatihah serta boleh membaca al-Quran hasil daripada menghadiri kelas anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Masjid Muhammadi.

Pada masa sama, saya juga mempunyai beberapa sahabat yang terpaksa menyembunyikan keislaman mereka atas sebab-sebab tertentu setelah mereka memeluk Islam suatu ketika dahulu.

Mereka juga mampu dan berjaya berpuasa penuh walaupun mereka boleh sahaja makan dan minum kerana masyarakat ketika itu tidak tahu bahawa mereka sudah Islam.

Di sinilah timbulnya satu persoalan. Jika mereka yang baru sahaja memeluk Islam mampu berpuasa penuh, menghadapi cabaran lapar dan dahaga, tidak malukah geng plastik hitam yang sering mencuri-curi makan pada waktu siang bulan Ramadan?

Alasan

Mereka dipanggil geng plastik hitam kerana makanan yang dibeli diletakkan dalam plastik berwarna hitam untuk melindungi kesalahan yang mereka lakukan. Mereka ini orang dewasa, bukannya kanak-kanak.

Pelbagai alasan mahupun helah digunakan ketika mendapatkan bekalan makanan. Antaranya, sakit gastrik atau sebab kesihatan yang lain.

Geng plastik hitam ini sepatutnya berasa malu kerana anak-anak Tahun Satu pun sudah rajin berpuasa. Mereka juga patut malu terhadap golongan yang sedang berjinak-jinak dengan Islam, iaitu mereka yang belum lagi mengucap dua kalimah syahadah tetapi sedang belajar tentang Islam dan turut cuba berpuasa pada bulan Ramadan.

Jika mereka yang tidak wajib berpuasa pun mahu dan dapat mencuba untuk berpuasa penuh, apakah alasan geng plastik hitam untuk tidak berpuasa?

Sesungguhnya puasa merupakan salah satu ibadah yang sangat mulia dan disyariatkan dalam Islam. Tujuannya jelas, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran melalui ayat 183 surah al-Baqarah, iaitu untuk membentuk peribadi Muslim yang bertakwa kepada ALLAH, dengan mengerjakan semua perintah ALLAH dan menjauhi semua yang dilarang.

Semoga geng plastik hitam dapat mengambil iktibar daripada anak-anak kecil mahupun para mualaf yang berpuasa.

*Dr Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan.