Anak yatim sedih terkenang arwah ayah

Fadhilah (tengah) bersama sebahagian anak angkat di bawah Perkeso yang diraikan dan menerima sijil anak angkat dalam satu majlis di satu majlis di Hotel Sentral Riverview, di sini, malam tadi.
Fadhilah (tengah) bersama sebahagian anak angkat di bawah Perkeso yang diraikan dan menerima sijil anak angkat dalam satu majlis di satu majlis di Hotel Sentral Riverview, di sini, malam tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Setiap kali berbuka puasa dengan mi goreng dan lauk ikan, pasti saya terkenangkan arwah ayah, sedih memang sedih nak tak nak saya perlu lalui Ramadan dan raya tanpa ayah," kata seorang anak yatim piatu Mohamad Syarul Fitri Hairol, kini berusia 13.

Mohammad Syarul Fitri dan adiknya Mohamad Adha,11, antara 14 anak yatim piatu di negeri ini yang diambil sebagai anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan diraikan dalam satu majlis di Hotel Sentral Riverview, di sini kelmarin.

Mohamad Syarul Fitri berkata, banyak kenangan yang ditinggalkan arwah ayah yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada Disember tahun lalu, manakala ibunya telah meninggal dunia sejak dia berusia 6 tahun kerana menghidap sakit paru-paru berair.

Mohamad Syarul Fitri
Mohamad Syarul Fitri

Menurutnya, dia kini menumpang kasih nenek Rashada Fii, 56 yang juga ibu tunggal untuk membesarkan mereka adik-beradik yang masih lagi bersekolah dengan berniaga secara kecil-kecilan.

"Sebelum ayah meninggal, saya sempat jaga ayah di hospital dan ayah selalu pesan belajar bersungguh-sungguh dan saya perlu kuat demi adik juga nenek.

"Dari kecil saya menjalani puasa tanpa tanpa ibu di sisi dan tahun ini bukan sahaja tanpa ibu malah juga ayah buat pertama kalinya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso negeri, Fadhilah Hamil berkata, program anak angkat merupakan salah satu inisiatif pertubuhan berkenaan bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terbela menerusi pemantauan berkala daripada mereka.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Syarul Fitri (kanan) bersama nenek dan adiknya selepas menerima sijil anak angkat Perkeso.
Mohamad Syarul Fitri (kanan) bersama nenek dan adiknya selepas menerima sijil anak angkat Perkeso.

Menurutnya, Perkeso Melaka akan melakukan lawatan secara berterusan dan membina hubungan bukan hanya menyampaikan bantuan pencen penakat ibu bapa mereka malah sebagai pemantauan agar tidak berlaku kes pengabaian oleh waris mereka.

"Setakat ini 14 anak yatim yang telah dikenal pasti dan kita akan terus mencari dan yakin bilangan itu akan bertambah pada masa akan datang," katanya.

Pada program itu, anak yatim terpilih turut disantuni dan disampaikan sijil anak angkat dan sumbangan duit raya.