Set dulang hidangan berbuka

Set hidangan dulang ini hanya berharga RM19.
Set hidangan dulang ini hanya berharga RM19.
A
A
A

SEREMBAN - Tempoh kurang dua minggu lagi untuk umat Islam menyambut Aidilfitri, apa salahnya jika anda beralih angin menikmati juadah berbuka di luar.

Anda boleh cuba menikmati masakan Negeri Sembilan di Dapur Pompoan Chantek di Kampung Jkin Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menawarkan konsep sajian set hidangan dalam dulang dengan harga mampu milik iaitu RM19 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, ia ternyata berbaloi.

Pemiliknya Jefri Ramli, 45, berkata, kedai makannya yang dibuka pada setiap hari kecuali Isnin, mula beroperasi pada Januari lalu dengan menampilkan hidangan menu pagi, petang dan malam.

"Jika hari biasa kita buka pada jam 8 pagi hingga 11 malam tapi sepanjang Ramadan ini kita buka dari jam 6.30 petang hingga 9.30 malam.

"Kami tawarkan konsep set hidangan dalam dulang yang saya kira sudah cukup mengenyangkan pelanggan. Ia seperti makan berhidang di majlis kenduri dulu-dulu tapi kita tukang kepada set dulang individu," katanya.

Jefri Ramli
Jefri Ramli

Antara set menu yang ditawarkan ialah ikan sembilang krap krup krap, daging masak hitam, ayam masak asam pedas, sayur bendi, telur dadar dan sambal belacan.

Artikel Berkaitan:

Pelanggan turut disediakan dengan menu tambahan iaitu dua jenis kuih, bubur, buah serta air sejuk dan panas.

Tidak cukup dengan itu disediakan pula satu menu masakan panas bergoreng dan kambing bakar yang kesemua ini pada harga sama.

"Memang di luar sana banyak pilihan hotel dan restoran yang tawarkan hidangan bufet tapi harganya bukan semua orang mampu.

"Sebab itu kedai kami buat konsep set dulang untuk seorang dan menu ditawarkan sudah pasti mengenyangkan. Malah cara ini juga dapat elak pembaziran makanan," katanya.

Harga mampu milik ditawarkan membuatkan kedai ini sentiasa penuh sepanjang Ramadan.
Harga mampu milik ditawarkan membuatkan kedai ini sentiasa penuh sepanjang Ramadan.

Bagaimanapun dia menasihatkan pelanggan supaya buat tempahan awal bagi mengelakkan kesulitan, lebih-lebih lagi kedainya hanya mampu memuatkan 50 orang.

Katanya, jika pelanggan maklumkan lebih awal, lebih mudah untuk mereka mengatur tempat.

"Saya bersyukur sepanjang Ramadan ini memang penuh. Pernah sampai 100 orang yang datang satu masa. Tapi sebab dimaklumkan awal, kita boleh sediakan kerusi dan meja tambahan.

"Setiap hari menu set kita berbeza dan yang pasti masakannya cara Negeri Sembilan. Paling disukai pelanggan ialah ikan sembilang krap krup krap yang digoreng rangup," katanya.

Selain menunya, apa yang menarik hati ialah persekitarannya yang berlatar belakang hutan dan berada tidak jauh dari kaki Gunung Angsi.

Jika di tempat lain anda didendangkan dengan alunan muzik sebagai penghidup suasana tetapi di sini diserikan dengan bunyi harmoni hutan.

Turut disediakan ialah ruang solat pelanggan juga boleh terus solat tarawih kerana turut disediakan imam.