Lebih banyak LRA dibina dalam RMK-12

Xavier (tengah) bersama pimpinan PKR Perak dan di peringkat cabang ketika hadir ke Majlis Iftar Perdana anjuran PKR Perak, di sini hari ini.
Xavier (tengah) bersama pimpinan PKR Perak dan di peringkat cabang ketika hadir ke Majlis Iftar Perdana anjuran PKR Perak, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Pembinaan lebih banyak Loji Rawatan Air (LRA) baharu antara perancangan yang akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, perancangan itu merupakan salah satu usaha untuk menambah baik sistem bekalan air di negara ini.

Menurutnya, perkara itu dijangka akan siap dilaksanakan dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang dan memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

"Kita kena bina lebih banyak loji air. Sebagai contoh di Perak sekarang memang ada berlaku masalah kekurangan air khususnya di kawasan utara pada musim perayaan seperti di Kuala Kangsar dan Larut.

"Sebab itu kita akan bina satu loji air besar di kawasan utara Perak itu yang akan dikongsi dengan Pulau Pinang selepas perbincangan penjualan air Perak kepada Pulau Pinang dipersetujui," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar Perdana PKR di sebuah hotel di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Xavier berkata, pembinaan itu loji itu juga sebagai langkah mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) di negeri-negeri di Malaysia.

"Loji baharu ini akan mengurangkan kadar NRW sekaligus meningkatkan kadar simpanan air mentah melebihi daripada lima atau enam peratus bagi memenuhi keperluan penduduk berbanding ketika ini simpanan air mentah di tangki air hanya sekitar dua peratus sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Jika berlaku gangguan bekalan air secara kerap, ia bukan sahaja menyusahkan rakyat, tetapi menyebabkan syarikat utiliti air mengalami kerugian besar," katanya.