Teruskan amalan, tarbiah Ramadan di bulan lain: TPM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap agar umat Islam meneruskan amalan tarbiah atau pengasuhan di bulan Ramadan pada bulan-bulan lain.

Beliau berkata umat Islam (pada Ramadan) bukan sahaja dituntut berpuasa, tetapi juga menahan diri daripada segala perbuatan tidak baik dan maksiat, sebaliknya memenuhi waktu malam dengan solat tarawih, tadarus dan sedekah.

"Sesungguhnya Ramadan dan puasa seperti disebut di dalam salah satu hadis Rasulullah SAW iaitu perisai yang dapat menahan diri dari gejala-gejala tidak sihat, sama ada daripada segi fizikal atau mental, seterusnya mencegah daripada seksaan api neraka.

"Saya harap amalan di bulan tarbiah ini dapat dikekalkan di bulan-bulan seterusnya. Bulan penuh barakah ini penuhilah dengan amal kebaikan apatah lagi di sepuluh hari-hari terakhir Ramadan," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Parlimen Pandan bersama ahli Kariah dan golongan asnaf di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di sini, malam ini.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata apabila amalan baik itu dikekalkan dan diamalkan secara berterusan ia akan menjadi momentum untuk setiap daripada kita menjadi insan yang lebih baik.

Pada majlis itu turut disampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 350 penerima golongan asnaf Parlimen Pandan serta diadakan jamuan berbuka puasa yang dihadiri seramai 2,500 ahli kariah masjid berkenaan. -Bernama

Artikel Berkaitan: