KBS keluarkan piawaian untuk agihkan peruntukan pembangunan sukan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A

BEAUFORT - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan satu piawaian untuk mengagihkan peruntukan RM100 juta yang diperuntukan untuk pembangunan sukan di kawasan luar bandar.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata piawaian yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat itu, bertujuan untuk mendemokrasikan cara permohonan peruntukan pembangunan sukan berkenaan.

"Kita mahu mendemokrasikan cara penyaluran peruntukan ini... kita mahu permohonan bukan sahaja datang daripada pimpinan tertinggi.

"Kita mahukan agar permohonan juga datang daripada ketua-ketua kampung atau ketua-ketua persatuan. Cuma mereka perlu tunjukkan bahawa itu memang kawasan luar bandar, dan tidak ada infrastruktur sukan yang mencukupi di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis Konsultasi KBS bersama belia di sini, malam ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai projek pembinaan kompleks sukan di Kuala Penyu, Syed Saddiq berkata sebelum ini projek berkenaan telah dibatalkan kerana terdapat masalah tanah.

"Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun telah menyuarakan perkara ini sebelum ini, dan saya berterima kasih kepada beliau kerana sangat prihatin dengan perkembangan sukan di kawasan ini.

"Saya dimaklumkan bahawa isu tanah berkenaan telah selesai, dan mereka telah mendapatkan tapak tanah baharu membina kompleks sukan berkenaan. Oleh itu kementerian akan memastikan projek pembinaan kompleks sukan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin," tambahnya. - Bernama