NUTP beri sumbangan kepada anak yatim

Aminuddin (tengah) bersama penerima sumbangan selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang merupakan anak ahli NUTP hari ini.
Aminuddin (tengah) bersama penerima sumbangan selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang merupakan anak ahli NUTP hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut prihatin dalam menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada anak yatim yang merupakan anak guru dari ahli kesatuan itu.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, program pertama kali diadakan itu bermula di negeri ini dan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain mulai tahun hadapan.

Menurutnya, bantuan juga akan diperluaskan kepada kaum lain yang juga ahli NUTP.

"Kita sebolehnya mahu menunjukkan bahawa NUTP adalah persatuan untuk pelbagai kaum. Kita adalah contoh organisasi yang mempunyai ahli pelbagai kaum dan kita bersatu dan berada dalam suasana yang makmur.

“Justeru, sumbangan menyeluruh akan dilakukan kepada ahli NUTP dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang merupakan anak ahli NUTP hari ini.

Pada majlis itu, seramai 26 anak yatim menerima sumbangan daripada NUTP berupa wang tunai dan kuih raya.

Dalam pada itu, beliau berkata, banyak manfaat diperolehi apabila menjadi ahli NUTP termasuk ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebagai contoh sekiranya kematian disebabkan kemalangan membabitkan ahli, bantuan RM3,000 akan diberikan waris.

“Kalau ada kematian membabitkan ahli keluarga pula sebanyak RM200 bagi ibu bapa manakala untuk pasangan pula RM500.

“Kalau ada ahli yang mendapat penyakit kritikal sebanyak RM2,000 akan diberikan. Pelbagai lagi sumbangan yang disediakan oleh persatuan untuk dimanfaatkan oleh 230,000 ahli NUTP,” katanya.