'Las Vegas' Palu dibenam, kutukan buat pendosa

Keadaan di Palu selepas tsunami dan gempa.
Keadaan di Palu selepas tsunami dan gempa.
A
A
A
PALU, SULAWESI TENGAH - Warga Palu tidak menolak kemungkinan Desa Petobo ditelan bumi angkara operasi pusat perjudian dan pelacuran yang aktif sebelum ini.

Bagi penduduk di Sulawesi Tengah ini, Petobo tidak jauh bezanya dengan Las Vegas ibu kota Nevada, Amerika Syarikat, desa ini sohor dengan pusat perjudian terunggul di Palu sebelum ia dikisar bumi tanggal 28 September lalu.

Perumahan Petobo di Selatan Palu itu tenggelam keseluruhannya namun tidak menguburkan desa tetangga yang lain, fenomena di Sulawesi ini disifatkan begitu aneh dan berbeza dengan bencana alam di lokasi lain.

Bencana dahsyat ini seperti memilih siapa yang akan dirobohkan dan ditenggelamkan, ia sesuatu yang ganjil.

Bagi seorang penduduk dari Desa Loru, Sigi Biromaru, Eric Erlee,49, ketika ditanya adakah punca tenggelamnya Petobo gara-gara aktiviti maksiat judi dan pelacuran.

Tanpa berselindung dia mengakui tragedi amukan alam ini adalah kutukan ALLAH kepada pendosa-pendosa yang mengingkari-Nya.

No Image Caption



"Desa Petobo yang diambruk itu semua kerana kegiatan segala jenis judi di situ, tiada langsung tindakan undang-undang kerana polisi juga ada main di situ. Buat apa saya mahu bersembunyi, kerana kenyataan ada di sana.

"Ustaz dari pesantren ada datang menasihati mereka agar berhenti berjudi dan maksiat namun mereka tidak mahu dengar, tenggelamnya Petobo mungkin akibat kutukan Tuhan.

Artikel Berkaitan:


"Bukan saja manusia marah kepada mereka (warga Petobo) kemarahan ini termasuk Tuhan. Hanya kerana perbuatan orang di sana, ribuan lain meninggal, pendek kata seluruh Petobo itu main judi," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Eric, Petobo destinasi popular buat para penjudi dan pencari pelacur termasuk juga dadah.

Menurutnya, jolokan Las Vegas, Palu itu bukan sahaja terkenal dikalangan penduduk setempat malah pengunjungnya ada yang berkelana dari jauh seperti dari Makassar, Manado bahkan dari Surabaya.

"Bukan semua perkampungan di Petobo ini lokasi judi, namun ada sebuah kawasan yang dijadikan pusat kegiatan perjudian.

"Segala jenis judi ada, mula dengan permainan kad, nombor ekor, dam, lumba kuda, semuanya ada lengkap dengan nilai taruhan yang besar," ujarnya.

Sementara itu, Eric yang juga bekas pekerja perusahaan ayam penelur di Jono Oge turut membantah amalan festival Palu Nomoni kerana disifatkan ritual itu sebagai penyebab gempa dan bencana tsunami.

"Festival Palu Nomoni ini adat yang tidak senonoh, kerana adat tidak boleh dijual beli atau dipamerkan dengan upacara sembelih kambing, lembu. Ya memang ini adat suku Kaili tetapi ia sepatutnya diadakan mengikut kesesuaian waktu dan keperluan.

"Festival Palu Nomoni ini sudah tidak jelas, ternyata ia bertukar jadi pembalasan Tuhan. Kali pertama ia tidak jadi, kedua pula hujan lebat sehari semalam dan baru-baru ini kali ketiga gempa dan tsunami dahsyat membadai.

No Image Caption



"Ini kali bukan cuma hujan tapi gempa, tanah retak, tanah tersorong. Mungkin sudah sampai saatnya dihapuskan Palu Nomoni kerana ia tidak sesuai dengan ajaran agama dan adat," jelas bapa empat cahaya mata tersebut.

Ketika ditanya imbasan bencana terburuk akhir September lalu, Eric masih tidak dapat memadam ingatannya saat menunggang motosikal pulang dari kerja sejauh 3 kilometer, ia bagaikan melalui ombak di lautan kerana bumi dan tanah beralun impak likuifaksi.

"Gempa pertama jam 3 petang itu, sangat kuat seperti bunyi tayar pesawat pecah. Saya minta teman-teman di perusahaan agar tidak menghidupkan mesin kerana bimbang dengan keadaan sekeliling namun mereka itu anak-anak muda maka dibilangnya Om, tidak apa-apa ni,kita teruskan saja.

"Habis jam kerja, kami semua pulang ke rumah, saat itu ketika saya sedang menunggang motosikal, jalannya beralun, motosikal bagai digoyang-goyang dan terjungkit saya di jalan kerana tanah retak dan rekah.

"Saya memang panik waktu itu melihat bumi terbelah tetapi saya tetap menunggang pulang ke rumah.Akibat tragedi itu perusahaan tempat saya mencari rezeki musnah, dua teman kerja 'hilang'.

"Sampai saja di rumah, anak-anak saya meluru memeluk saya katanya, tidak sangka papa selamat kerana kami hubungi papa tidak dijawab," ujarnya.

Kata Eric, meskipun rumah yang dibina hasil keringat bertahun-tahun buat anak-anak musnah sekelip mata namun dia masih bersyukur kerana masih hidup dan keluarganya selamat.

No Image Caption



"Paling saya bersyukur ialah tidak pergi ke tepi pantai untuk melihat upacara Festival Palu Nomoni kerana sedang kerja, namun saya berencana untuk ke sana pada sebelah malamnya. Nasib baik tidak pergi jika tidak pasti tidak kembali.

"Bagi saya bencana buruk ini sebagai peringatan kepada kita manusia, jangan bikin sembarangan apa pun mesti ikut aturan, ini ingatan buat diri sendiri, harus koreksi diri, apakah sudah benar atau belum, aspirasi diri sendiri apa benar atau belum," ucapnya.

Eric ternyata reda dan pasrah dengan aturan Tuhan buat dirinya, katanya meskipun sudah membanting tulang bertahun-tahun untuk membina rumah buat keluarga jika ALLAH berkehendakan begitu kejadiannya, tiada apa dapat menghalangnya.

Kini dia bersama isteri, anak-anak dan ibu mertuanya menginap di tenda berlantaikan rumput di hadapan rumah mereka yang musnah. Ia sungguh memilukan.

Dalam pada itu, Global Peace Mission (GPM) Malaysia bersama Sinar Harian dalam misi memulihkan jiwa-jiwa trauma di Sulawesi Tengah yang terjejas tsunami, gempa bumi dan likuifaksi dengan menyediakan khidmat 'psychosocial first aid (PFA)' terutamanya kanak-kanak.